Pengarah syarikat ditahan eksploitasi buruh kanak-kanak - Utusan Malaysia

Pengarah syarikat ditahan eksploitasi buruh kanak-kanak

PEKERJA warga asing yang ditahan dalam Op Pintas Mega (ATIPSOM) di sebuah kilang kitar semula bahan plastik terbuang di Chemor, Ipoh semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pengarah syarikat ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes eksploitasi buruh kanak-kanak di sebuah kilang kitar semula bahan plastik terbuang di Chemor, di sini semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, dalam operasi pada pukul 3.30 petang itu, seorang kanak-kanak lelaki warga Myanmar berusia 16 tahun disyaki mangsa pemerdagangan orang berjaya diselamatkan.

Katanya, tindakan ke atas kanak-kanak itu dijalankan di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Pihak polis telah mengesan satu aktiviti eksploitasi buruh paksa dan buruh kanak-kanak warga asing yang berlaku di kilang berkenaan.

“Bertindak atas maklumat, serbuan dijalankan di premis itu yang membawa kepada tangkapan 27 warga asing dari China dan Myanmar berusia antara 30 hingga 55 tahun,” katanya.

Menurut beliau, siasatan ke atas pengarah syarikat itu akan dijalankan di bawah Seksyen 14 ATIPSOM 2007 kerana memperdagangkan kanak-kanak bagi tujuan eksploitasi.

Katanya, lelaki terbabit juga berdepan kesalahan di bawah Seksyen 55 (b) Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil pekerja warga asing yang tidak memiliki pas kerja yang sah.

“Kesemua pekerja warga asing yang ditangkap akan disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 kerana salah guna pas,” ujar beliau.

Sementara itu,Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak, Muhamad Fauzi Abd. Ghani berkata, hasil pemeriksaan di kilang tersebut mendapati, tempat tinggal yang disediakan majikan tidak kondusif untuk pekerja.

Malah katanya, penginapan rumah kontena didiami pekerja asing itu juga gagal memenuhi kehendak di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

“Kesalahan dikesan di bawah Seksyen 24D akta sama dan Peraturan 4, Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan penginapan berpusat) 2020,” katanya.

Tambah beliau, kesalahan lain yang dikesan ialah di bawah Sesyen 63 (1), Seksyen 25A dan Seksyen 19(1) Akta Kerja 1955. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN