IBARAT tikus membaiki labu. Kerosakan sudah berlaku dan kini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu terpaksa menagih perhatian Amerika Syarikat (AS) bagi menghalalkan segala tindakan.
Imejnya sebagai penjenayah perang di abad ke-21 sudah terpampang di seluruh dunia. Dari benua Amerika hingga Asia Selatan.
Majoriti penduduk dunia tanpa mengira agama sudah bersolidariti mengecam pemimpin paling kejam.
Tindakan Washington memberikan peluang Netanyahu berucap di Kongres diselar pejuang Hamas.
Hamas menegaskan, Netanyahu wajib ditangkap dan dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), berbanding diberi peluang untuk memperbaiki imej di hadapan dunia serta menutup operasi pembunuhan beramai-ramai di wilayah terkepung.
Tanpa sedar, AS sebenarnya sudah mengesahkan penglibatannya secara rasmi terhadap jenayah perang di Gaza.
Daripada sokongan politik dan ketenteraan, moral AS sebenarnya sudah tercalar lebih-lebih lagi apabila 53 ahli Kongres bangun dan bertepuk tangan kepada Netanyahu menyampaikan ucapan.
“Kami ingin menegaskan visi Netanyahu untuk masa depan Gaza hanyalah illusi dan fantasi yang cuba dipersembahkan.
“Hanya rakyat kami (Palestin) yang mempunyai hak untuk menentukan nasib dan memilih pemimpin mereka,” katanya.
Hamas turut menyifatkan dakwaan Netanyahu mengenai usaha intensif untuk membebaskan tahanan Israel hanya pembohongan serta penipuan terhadap pendapat umum Israel, AS dan global.
Kumpulan pejuang itu berkata, Netanyahu sendiri bertanggungjawab menggagalkan semua usaha untuk menamatkan perang dan mencapai perjanjian untuk membebaskan tahanan.
“Semua laporan hak asasi manusia, kemanusiaan dan antarabangsa mengesahkan Netanyahu dan tenteranya melakukan pembunuhan besar-besaran dan pembersihan etnik di Gaza, yang tidak pernah berlaku dalam sejarah peperangan global.
“Membiarkan nasib penduduk kebuluran, menyekat bantuan, membakar dan memusnahkan lintasan sempadan Rafah, sehingga membunuh ramai pekerja kemanusiaan adalah bukti jelas terhadap dakwaan palsu mengenai bantuan yang memasuki sektor tersebut,” katanya.
Ketika Netanyahu menjejakkan kaki ke negeri Uncle Sam, setiap detik yang berlalu di Gaza terus diserang dan jumlah kematian terus bertambah.
Sejak serangan balas tentera Israel terhadap pejuang Hamas pada 7 Oktober, tahun lalu, ini adalah kunjungan pertama Netanyahu ke luar negara.
Penampilannya menjadikan Netanyahu pemimpin asing pertama yang berucap sebanyak empat kali di Kongres, melebihi bekas Perdana Menteri United Kingdom (UK), Winston Churchill.
Lebih 50 anggota Demokrat termasuk ahli politik bebas, Bernie Sanders memboikot ucapan Netanyahu.
Bahkan, sehari sebelum kehadirannya di Kongres, kumpulan aktivis anti-Zionis, Jewish Voice for Peace (JVP), berhimpun di Bangunan Cannon di Capitol Hill sebagai protes terhadap pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Gaza.
Setakat ini, jumlah rakyat Palestin yang terbunuh dalam pengeboman Israel mencecah hampir 40,000 orang.










