20 tahun lagi untuk lihat politik berubah – Pakar

20 tahun lagi untuk lihat politik berubah – Pakar

RAMAI dalam kalangan generasi muda yang berminat dalam politik tetapi berdepan dengan cabaran besar menaiki hierarki kepimpinan parti berikutan ada pemimpin lama yang 'berat' untuk melepaskan jawatan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Landskap po­litik negara memerlukan sekurang-kurangnya 20 tahun untuk berubah memandangkan pemimpin-pemimpin lama masih menguasai hampir kese­mua parti politik di negara ini.

Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia Profesor Madya Dr. Mazlan Ali berkata, budaya politik lapuk dan sikap tidak terbuka melambatkan proses peralihan tersebut.

Katanya, setakat ini, peluang kepada generasi muda mengambil alih kepimpinan politik masih terhad, malah pemimpin muda yang dianggap sebagai pesaing, akan disekat.

GAYA LAMA

“Mereka (pemimpin politik veteran) sukar untuk melepaskan jawatan. Gaya politik mereka masih dengan gaya lama.

“Ada yang lihat orang muda sebagai ancaman yang boleh menggugat kedudukan mereka dalam parti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Akhbar ini, sebelum ini melaporkan dominasi pemimpin berumur yang masih menerajui parti politik di negara ini boleh membawa kepada kelesuan politik.

Mazlan berkata, budaya lama sikap tertutup itu menyebabkan generasi muda sukar mendapatkan tempat dalam politik dan perlu mengikut rentak pe­mimpin lama untuk bertahan.

“Ramai orang muda yang mahu bergiat aktif dalam politik tetapi disebabkan sikap orang veteran yang kurang memberi peluang, lambat-laun mereka jadi tidak berminat,’’ katanya.

Katanya, jurang antara gene­rasi dalam kepimpinan politik negara ini agak besar berban­ding negara-negara maju.

Katanya, di negara maju se­perti Finland dan Denmark, ahli politiknya berada dalam lingkungan umur 30-an kerana peluang yang diberikan.

JURANG

“Saya masih tidak berpuas hati dengan jurang di negara kita ini kerana kita lihat masih wujud lagi generasi pemimpin berumur 80 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, tidak dinafikan politik negara perlu dipimpin individu berpengalaman.

Bagaimanapun, katanya, adalah lebih baik sekiranya generasi muda turut dilibatkan secara langsung dalam kepimpinan tertinggi parti bagi membawa perubahan kepada negara.

KUALITI

“Kita perlu mereka yang berpengalaman dan mempunyai ciri-ciri futuristik. Kualiti pemikiran kritikal dan paling pen­ting ciri-ciri untuk memahami apakah aspirasi negara.

“Jadi sudah tiba masanya politik membuka ruang kepada lebih ramai generasi muda untuk menjadi calon pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Dalam masa yang sama, katanya, generasi baharu politik perlu dibimbing agar dapat mengekalkan falsafah dan citra parti dan juga kewujudan negara ini.

Noor Nirwandy berkata, jurang generasi politik juga perlu dirapatkan bagi memastikan ele­men dan ideologi politik dan dasar pembangunan negara diteruskan oleh generasi muda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×