Culik dua budak: Penjual pisang goreng dijel 2 tahun

Culik dua budak: Penjual pisang goreng dijel 2 tahun

MOHAMED Shahriza Othman mengaku salah di Mahkamah Majistret Sungai Besar melarikan dua kanak-kanak perempuan di Sabak Bernam, Selangor. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Perbuatan se­orang penjual pisang goreng menculik dua kanak-kanak ke­rana inginkan anak perempuan mengundang padah apabila dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret Sungai Besar di sini, semalam.

Majistret Siti Hajar Ali memutuskan demikian selepas tertuduh, Mohamed Shahriza Othman, 32, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Selain hukuman penjara, bapa kepada dua anak itu didenda sebanyak RM2,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayarnya.

Siti Hajar dalam penghakiman­nya berkata, pengakuan ber­salah tertuduh jelas menunjukkan ke­kesalan dan keinsafan atas insiden yang berlaku itu.

“Namun, hukuman harus bersifat deterrent (pencegahan) dan faktor kepentingan awam bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam. Kesalahan culik kini berleluasa dan satu kesalahan serius pada pandangan mahkamah,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Moha­med Shahriza didakwa menculik dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan lapan tahun daripada penjaga yang sah di Taman Ikan Emas, Jeram, Kuala Selangor, kira-kira pukul 6.30 petang,19 Julai lalu.

Kesalahan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Berdasarkan fakta kes, tertu­duh melarikan dua kanak-kanak itu yang sedang bermain di hadapan rumah dengan menaiki kereta jenis Perodua Bezza.

Tertuduh kemudian mengajak mangsa menemaninya untuk menghantar surat sambil memberikan upah wang tunai seba­nyak RM50.

Kedua-dua mangsa mengikut tertuduh ke kedai runcit dan mengajak berjalan-jalan sekitar Jeram dan singgah di rumahnya sebelum menghantar semula mereka, kira-kira pukul 7.45 malam.

Peguam Muhd. Muqri Mohd. Khairi yang mewakili Mohamad Shariza memberitahu tertuduh merupakan penyara tunggal kepada isteri dan dua anak yang masih bersekolah dengan anggaran pendapatan RM2,000 sebulan.

“Tujuan tertuduh berbuat demikian (menculik) kerana dia menginginkan anak perempuan. Setakat ini, belum ada rezeki dengan dua anak tertuduh adalah lelaki.

“Tertuduh juga menghantar dua mangsa kepada penjaga atau keluarga mereka dan ini kesalahan pertamanya,” katanya.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal memohon hukuman berat kerana ke­salahan itu melibatkan kepen­tingan awam.

“Kes penculikan kini semakin meningkat dan boleh mengancam nyawa mangsa. Selain itu, penculikan bukan hanya melibatkan seorang tetapi dua mangsa. Mohon penjara berjalan berasingan,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan suasana di sekitar Jeram, Kuala Selangor gempar apabila dua kanak-kanak dilaporkan hilang selepas dilarikan lelaki menaiki Bezza ketika pulang mengaji petang 19 Julai lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×