PETALING JAYA: Indeks Pelopor (IP) mengekalkan trajektori positifnya dengan 3.8 peratus pada Mei 2024, menggambarkan ekonomi Malaysia yang berdaya tahan, kata (Jabatan Perangkaan Malaysia).
IP adalah alat yang digunakan untuk meramalkan arah aliran ekonomi secara purata empat hingga enam bulan ke hadapan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, IP mengekalkan pertumbuhan positifnya selama enam bulan berturut-turut, mencapai 3.8 peratus kepada 114.2 mata pada Mei 2024 berbanding 110.0 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Katanya, peningkatan ini disokong terutamanya oleh kenaikan kukuh dalam Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (31.8 peratus), diikuti oleh import benar logam asas berharga dan logam Bukan ferus lain (20.6 peratus).
“Melihat kepada prestasi bulanan, IP juga meningkat sebanyak 0.8 peratus disumbangkan terutamanya oleh bilangan syarikat baharu didaftar (0.5 peratus).
“Kadar pertumbuhan IP terlicin pada Mei 2024 kekal konsisten melebihi 100.0 mata, mencerminkan ekonomi yang berdaya tahan disokong oleh peningkatan aktiviti pelancongan dan permintaan luar yang memberangsangkan,” katanya dalam kenyataan.
Merujuk kepada senario ekonomi semasa, beliau berkata, Indeks Serentak (IS) mengekalkan momentum pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus kepada 126.1 mata pada Mei 2024 berbanding 123.4 mata pada bulan yang sama setahun lalu.
Jelasnya, peningkatan ini dipacu oleh prestasi teguh dalam nilai caruman benar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 8.7 peratus.
“Pada masa yang sama, perubahan bulanan dalam IS juga mencatatkan peningkatan sebanyak 0.6 peratus, disokong oleh semua komponen kecuali Kapasiti Penggunaan dalam Pembuatan (-0.2 peratus),” ujarnya.-UTUSAN










