MELP pupuk rakyat cekap tenaga, jayakan peralihan tenaga 

MELP pupuk rakyat cekap tenaga, jayakan peralihan tenaga 

AKMAL Nasrullah Mohd Nasir berucap merasmikan pelancaran Siri Pertama Pembelajaran MELP anjuran TNB di Leo Moggie Convention Centre, TNB Platinum Bangsar, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program Malaysia Energy Literacy Program (MELP) anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) memupuk masyarakat menjadi pengguna cekap tenaga dalam menjayakan sasaran mencapai matlamat neutral karbon negara menjelang tahun  2050.

Program berterusan ini dijangka meningkatkan indeks celik tenaga sebanyak dua peratus hingga tiga peratus setahun dalam kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, pelanggan serta rakyat. 

Ia sekali gus menyokong Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dengan sasaran 20 peratus sehingga 30 peratus penjimatan melalui amalan kecekapan tenaga dalam sektor domestik, industri dan komersial.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir, menekankan kepentingan kecekapan tenaga sebagai pemangkin peralihan tenaga negara.

Katanya, beliau menyeru semua pihak untuk bekerjasama dan berinovasi dalam  mengoptimumkan penggunaan tenaga bagi mencapai masa depan yang lebih lestari.

“Dalam usaha menuju ke arah pembangunan mampan, kelestarian bekalan tenaga dan keselamatan merupakan aspek penting yang harus dijamin bagi kesejahteraan rakyat. 

“Rakyat perlu bersama dengan kerajaan memahami dan menghayati agenda peralihan tenaga yang bertujuan menangani cabaran Trilema Tenaga iaitu jaminan bekalan, kemampanan dan kebolehmampuan demi memastikan kualiti kehidupan yang lebih baik,” katanya. 

Program yang dianjurkan bersama oleh Suruhanjaya Tenaga dan TNB Integrated Learning Solutions (ILSAS) selaku rakan strategik itu turut menarik lebih 250 peserta, termasuk 100 pelajar universiti, pegawai kerajaan, agensi berkaitan serta para pemimpin industri.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, mendalami pengetahuan melalui program pendidikan seperti seminar itu mendorong rakyat untuk lebih menghargai peranan mereka dalam mempercepat peralihan negara ke arah neutral karbon.

“Generasi pewaris yang dididik dengan sikap progresif dan kesedaran terhadap kemajuan bukan sekadar pengguna elektrik, tetapi juga memahami impak kemampanan tenaga terhadap bumi dan kehidupan manusia,” katanya. 

Tambahnya, generasi muda yang proaktif ini akan memainkan peranan penting dalam menerajui inovasi baharu dalam tenaga, digitalisasi dan memajukan teknologi hijau.

“Ini untuk menyokong peralihan kepada tenaga bersih, menjaga bumi serta memastikan keseimbangan ekonomi, sosial dan alam sekitar,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×