KETEGANGAN politik dan sosial di Bangladesh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia yang menetap di negara tersebut, khususnya pelajar serta ahli keluarga mereka di tanah air. Rentetan protes yang semakin memuncak dan tunjuk perasaan anti sistem kuota pekerjaan sejak 1 Julai lalu, membawa kepada langkah segera kerajaan Malaysia untuk memastikan keselamatan warganegara kita di sana.
Protes di Bangladesh bermula sebagai reaksi terhadap sistem kuota dalam pekerjaan sektor kerajaan, yang diperkenalkan semula pada 2018. Sistem ini memperuntukkan 56 peratus daripada jawatan sektor awam kepada demografi tertentu, termasuk 30 peratus untuk ahli keluarga pejuang kemerdekaan Bangladesh dari Pakistan pada 1971.
Keputusan ini menimbulkan kemarahan pelajar yang menghadapi masalah pengangguran, dengan hampir 32 juta anak muda Bangladesh tidak bekerja atau belajar. Situasi menjadi semakin tegang apabila Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina enggan memenuhi tuntutan penunjuk perasaan untuk menghapuskan kuota tersebut.
Penunjuk perasaan berpendapat sistem kuota ini merupakan satu diskriminasi dan menguntungkan penyokong Hasina dari parti Liga Awami yang pernah mengetuai pergerakan kemerdekaan. Penunjuk perasaan menuntut bahawa sistem ini harus diganti dengan sistem berasaskan merit.
Kerajaan Bangladesh bertindak balas terhadap tunjuk perasaan dengan mengerahkan polis anti rusuhan dan pasukan separa tentera. Tindakan tegas termasuk menggunakan peluru getah dan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan, serta menutup semua universiti di seluruh negara.
Walaupun begitu, pertempuran antara pelajar dan pasukan keselamatan terus berlaku, mengakibatkan lebih daripada 100 kematian dan ribuan cedera. Tambahan pula, kerajaan mengenakan sekatan perkhidmatan internet dan menguatkuasakan perintah berkurung di beberapa kawasan.
Dengan ketegangan yang semakin memuncak, keselamatan pelajar Malaysia di Bangladesh menjadi keutamaan. Pelajar-pelajar ini mengalami gangguan komunikasi dan perkhidmatan internet, selain berada dalam keadaan panik akibat rusuhan yang berlaku. Susulan itu, mereka dipindahkan ke bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sebagai langkah keselamatan.
Kebimbangan terhadap keselamatan anak-anak mereka mendorong ibu bapa pelajar Malaysia di Bangladesh mendesak kerajaan Malaysia untuk segera membawa pulang anak-anak mereka.
Ahmad Wafiq Aqil Kamarul, seorang pelajar perubatan di Kolej Perubatan Mymensingh, contohnya berkongsi pengalaman cemas dan menekankan perlunya evakuasi segera untuk menjamin keselamatan pelajar.
Sementara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika ditanya wartawan mengenai perkara itu selepas merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 pada 22 Julai lalu, menegaskan kerajaan sentiasa mengikuti perkembangan terkini di Bangladesh dan keselamatan pelajar-pelajar menjadi keutamaan.
Ujar beliau, pada beberapa hari pertama kejadian keganasan keadaan kelihatan masih terkawal tetapi perkembangan mutakhir mengikut maklumat diberikan Kedutaan Malaysia di Bangladesh menunjukkan pelajar-pelajar Malaysia perlu dibawa pulang dan kerajaan akan menyewa pesawat untuk membawa mereka keluar dari negara itu.
Untuk itu, beliau mengarahkan agar pelan evakuasi segera dilaksanakan untuk membawa pulang pelajar-pelajar Malaysia dari Bangladesh. Tindakan ini diambil setelah mengambil kira situasi keselamatan yang semakin memburuk di Bangladesh. Ini kerana keselamatan rakyat Malaysia adalah keutamaan kerajaan tanpa mengira di mana mereka berada.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, dalam satu sidang akhbar khas juga berkata Perdana Menteri sejak pada pagi, 22 Julai sudah memberi ‘lampu hijau’ supaya pelan evakuasi digerakkan segera. Analisis awal keadaan di Bangladesh itu hanya gerakan daripada pelajar tetapi kebelakangan ini sudah menjadi satu gerakan anti kerajaan yang dijangkakan lambat selesai.
Mohamad berkata, kerajaan menghantar pesawat besar Air Asia berkapasiti 350 orang penumpang kerana walaupun data menunjukkan seramai 192 rakyat Malaysia berada di negara berkenaan membabitkan 124 pelajar, bukan pelajar (58) dan keluarga petugas kedutaan (10). Jika ada yang tidak berada dalam radar kerajaan tetapi mahu ikut serta pulang boleh berbuat demikian.
Proses evakuasi dimulakan dengan kerjasama rapat antara Kementerian Luar, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan agensi-agensi berkaitan. Seramai 123 rakyat Malaysia ini, termasuk 80 pelajar, dikumpulkan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sebelum diterbangkan pulang dan mereka selamat tiba di Malaysia pada pukul 4.56 petang, 23 Julai lalu.
Ketibaan mereka disambut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang menjalankan tugas Menteri Luar. Mohamad pula mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-57 (AMM) di Laos.
Kementerian Luar, dengan sokongan KPT dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), memainkan peranan utama dalam mengkoordinasikan proses evakuasi ini. KPT menyediakan bantuan kaunseling, penginapan dan logistik kepada pelajar yang dibawa pulang. Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka pula terus beroperasi untuk memberikan sokongan kepada rakyat Malaysia yang masih berada di Bangladesh.
Pelajar Malaysia yang dibawa pulang menyatakan rasa lega dan syukur atas usaha kerajaan Malaysia. Mereka yang mengalami detik-detik cemas semasa rusuhan dengan berbagai kemusnahan yang berlaku dan perintah berkurung dikeluarkan kini berasa selamat berada di tanah air. Sokongan dari keluarga dan kerajaan Malaysia menjadi sumber kekuatan bagi mereka menghadapi situasi yang mencabar di Bangladesh.
Langkah proaktif dalam memastikan keselamatan rakyatnya di luar negara memperkukuhkan imej positif kerajaan. Tindakan pantas dan berkesan ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat di mana jua mereka berada. Ia juga menegaskan keprihatinan Perdana Menteri dan menteri-menteri yang terlibat dalam menangani isu ini dengan segera dan tegas.
Keprihatinan dan tindakan segera Perdana Menteri dalam memastikan keselamatan pelajar Malaysia di Bangladesh adalah bukti komitmen kerajaan dalam melindungi rakyatnya.
Usaha evakuasi ini bukan sahaja memberi ketenangan kepada keluarga pelajar tetapi juga mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap keupayaan kerajaan dalam menangani krisis di peringkat antarabangsa.-UTUSAN
Dr. Nor Azura A. Rahman ialah Pengerusi Program Sarjana Muda (Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa) di Pusat Pengajian Antarabangsa dan Felo Penyelidik Institut Hal Ehwal Antarabangsa dan Diplomasi Asia, Universiti Utara Malaysia (UUM).










