KUALA LUMPUR: Kebanyakan pemain industri di Malaysia tahu mengenai Kecerdasan Buatan (AI), namun kemahiran tersebut masih dilihat sempit di negara ini dalam keadaan teknologi AI telah merentasi sempadan antarabangsa.
Bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, ini kerana masyarakat dilihat lebih tertumpu kepada Chat Generative Pre-Trained Transformer (ChatGPT) untuk mempelajari kaedah AI khusus kepada cara pelaksanaannya dalam pelbagai industri, termasuklah dalam aspek pengurusan.
“Sebagai contoh dalam industri pengurusan, kita bergelut untuk kakitangan memahami kepenggunaan AI kerana syarikat multinasional sekali pun tidak menggunakan model AI sebagai kemudahan dalam pengurusan kerja mereka.
“Di situ kita lihat terdapat kelemahan dari segi pendedahan kepenggunaan AI apabila ia diguna pakai dalam industri pengurusan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Indeks Cisco’s inaugural AI Readiness tahun lalu mencatatkan sebanyak 13 peratus organisasi di Malaysia telah bersedia sepenuhnya untuk memperluas serta memanfaatkan teknologi AI.
Sementara 33 peratus syarikat dikategorikan sebagai pengajar (separa bersedia), 53 peratus sebagai pengikut dan satu peratus tidak bersedia.
Mengulas lanjut, Mustafa yang juga Pengerusi baharu Institut Pengurusan Bertauliah (CMI) turut berkata, kerajaan perlu memberi tumpuan dengan melantik mana-mana individu untuk melatih kemahiran AI sebagai kesediaan Malaysia setanding dengan negara lain untuk mengguna pakai teknologi AI.
“Dalam hal ini sudah pasti akan ada pro dan kontra apabila melibatkan AI dalam mana-mana industri termasuk industri pengurusan.
“Cuma masalah di sini adalah sama ada Malaysia mempunyai tenaga kerja yang cukup untuk mengendalikan AI dan melatih kemahiran tersebut kepada pemain industri. Semua orang bercakap tentang AI termasuk Perdana Menteri kita sendiri, tetapi adakah tenaga pengajar telah disediakan?” soalnya.
Mustafa dalam masa yang sama turut meyakini AI tidak akan menggantikan peranan mana-mana pekerjaan.
“AI mungkin mengambil alih pekerjaan tertentu, tetapi mesin tidak boleh melakukan segala-galanya. Adakah AI boleh menguruskan manusia dan emosi? Jadi dengan adanya AI ini ia akan dapat mengimbangi banyak perkara untuk menjadi lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata, masih terdapat pihak yang tidak yakin dengan AI meskipun penggunaannya semakin meluas dalam kehidupan seharian.
“Pelaksanaan AI dalam industri pengurusan sangat membantu dalam aspek pengurusan data untuk membuat sebarang dapatan atau keputusan.
“Dengan pengumpulan data itu juga, syarikat perlu memikirkan proses pematuhan peraturan yang kompleks kerana ketidakpatuhan boleh membawa kepada penalti kewangan dan berisiko untuk menjejaskan reputasi,” katanya.
Syed Hussain dalam masa yang sama turut menjelaskan, ramai yang bercakap tentang AI, namun sektor tersebut masih kurang diterokai.
“Perkara ini timbul disebabkan beberapa faktor. Pertama, kesan kewangan untuk melaksanakan AI boleh menjadi terlalu tinggi. Pelaburan awal yang diperlukan untuk teknologi AI, merangkumi teknologi perisian yang canggih.
“Banyak syarikat mungkin tidak mempunyai kapasiti kewangan yang tinggi, terutamanya apabila pulangan pelaburan (ROI) tidak menentu. Kedua, terdapat kekurangan dari segi tenaga pekerja yang mahir dalam bidang AI.
“Jurang kemahiran ini menjadikannya ia agak mencabar untuk dibangunkan,” katanya lagi.
Syed Hussain juga menegaskan bahawa AI merupakan bidang baharu dan banyak negara menghadapi isu yang sama dalam membangunkan kepakaran AI.
“Dengan melabur dalam program pendidikan dan latihan AI sekarang, kami boleh meletakkan diri kami dalam persaingan dalam bentuk inovasi dan aplikasi AI,” katanya. – UTUSAN











