RM8.9 bilion wang KWSP dikeluar dari Akaun Fleksibel

RM8.9 bilion wang KWSP dikeluar dari Akaun Fleksibel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Data terkini merekodkan sebanyak RM12.6 bilion wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan 3.8 juta ahli memilih mempunyai amaun permulaan di dalam Akaun Fleksibel (Akaun 3) setakat 19 Julai lalu. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jumlah itu bersamaan 29.3 peratus daripada keseluruhan 13.1 juta ahli KWSP di bawah umur 55 tahun, manakala RM5.6 bilion pula dipindah ke Akaun Persaraan (Akaun 1). 

Sehubungan itu, katanya, pindahan wang caruman ke Akaun Persaraan memberi kesan kepada peningkatan simpanan pencarum iaitu penambahan seramai 43,000 ahli baharu yang sudah mencapai simpanan asas.

Bagaimanapun, katanya, seramai 3.4 juta bersamaan 26.2 peratus daripada jumlah 13.1 juta ahli di bawah 55 tahun membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel dengan implikasi kewangan RM8.9 bilion. 

“Pun begitu, pengeluaran daripada Akaun Felsibel tidak memberi kesan ketara kepada KWSP kerana jangkaan jumlah pengeluaran oleh ahli adalah dalam lingkungan alokasi tunai dan pasaran wang KWSP. 

“Di bawah Alokasi Aset Strategik (SAA) semasa, KWSP mengalokasi pelaburan instrumen tunai dan pasaran wang antara dua hingga enam peratus daripada aset pelaburan KWSP,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini. 

Mengulas implikasinya kepada ekonomi negara, Amir Hamzah berkata, jangkaan awal pengeluaran Akaun Fleksibel pada tahun pertama adalah sekitar RM15 bilion iaitu kira-kira 0.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) nominal Malaysia untuk tahun 2023. 

“Namun, kesan sebenar pengenalan Akaun Fleksibel kepada pertumbuhan KDNK negara bergantung kepada beberapa faktor termasuk kecenderungan dalam cara perbelanjaan ahli,” katanya. 

Dalam pada itu, katanya, strategi alokasi pelaburan di bawah SAA akan dikaji secara berkala mengambil kira unjuran aset, liabiliti dan kedudukan kecairan KWSP serta kesan daripada penstrukturan semula akaun KWSP. 

“KWSP kekal komited melindungi dan menambah nilai simpanan dengan mengoptimum portfolio pelaburan dan memberi dividen atau pulangan yang mampan selaras dengan objektif KWSP selepas persaraan jangka panjang,” katanya.

KWSP sebelum ini memaklumkan, tujuan utama penstrukturan semula akaun KWSP untuk memastikan kesejahteraan kewangan semasa persaraan yang lebih mampan dan mengimbangi keperluan semasa ahli. 

Katanya, ahli boleh membuat pilihan jika mahu mempunyai amaun permulaan dalam Akaun 3 (Akaun Fleksibel) dengan memindahkan sebahagian simpanan dalam Akaun Sejahtera (Akaun 2) ke Akaun Fleksibel mulai 12 Mei lalu sehingga 31 Ogos ini. 

Pindahan simpanan adalah daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Persaraan (Akaun 1) dan Akaun Fleksibel dan pilihan amaun permulaan tidak melibatkan sebarang pindahan simpanan dari Akaun Persaraan ke Akaun Fleksibel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN