Kabinet arah tindakan tegas

Kabinet arah tindakan tegas

JEMAAH menteri mahu isu jenayah di media sosial dita­ngani segera termasuk memantapkan aspek siasatan dan pendakwaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mahu semua plat­form media sosial mematuhi undang-undang sedia ada di negara ini terutama dalam menurunkan segera kandungan yang boleh memudaratkan pengguna.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ber­kata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri yang di­pe­ngerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, jemaah menteri juga mahu isu jenayah di media sosial dita­ngani segera termasuk memantapkan aspek siasatan dan pendakwaan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sudah diarahkan untuk meneliti perkara itu.

“Kerajaan melihat masalah scam (pe­nipuan), buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak (pedofilia) antara tiga perkara yang membelenggu rakyat Malaysia ketika ini.

“Tiga ancaman ini adalah perkara yang kita lihat tidak boleh dibenarkan berlarutan dan ini antara sebab mengapa MCMC telah keluarkan surat arahan kepada sejumlah platform media sosial untuk mereka beri maklum balas berkaitan isu itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat jemaah menteri di sini, semalam.

Menurutnya, pemantauan MCMC mendapati se­tiap platform media sosial mempunyai tahap pematuhan berbeza dengan ada yang lebih pantas dan akur dan ada langsung tidak akur dan sangat lewat untuk menjawab kepada pihak berkuasa.

“Sebagai contoh, Facebook (FB) mempunyai 26.5 juta pengguna berdaftar di Malaysia dan kadar kepatuhannya (reaksi terhadap aduan) sekitar 85 peratus, Instagram (88 peratus), WhatsApp (79 peratus).

“Berbeza dengan TikTok, kadar pematuhannya pula sekitar hanya 76 peratus, Telegram (63 peratus) dan paling corot adalah platform X (Twitter), iaitu 25 peratus,” jelasnya.

Katanya, setiap platform ada masalah jenayah dalam talian atau kandungan-kandungan yang boleh membahayakan keselamatan orang ramai.

Jelasnya lagi, berdasarkan siasatan PDRM, kerugian daripada penipuan da­lam talian di FB berbeza mengikut jenis scam dan ia membabitkan kerugian antara RM8 juta (love scam) hingga RM132 juta bagi pelaburan tidak wujud.

Fahmi berkata, situasi di FB menjadikan platform itu terus disalahgunakan sejumlah penjenayah untuk memangsakan dan mencuri wang simpanan pengguna.

Selain itu, katanya, platform TikTok pula kebiasaannya dikaitkan dengan ancaman buli siber selain penggunaan akaun palsu untuk penipuan.

“Kalau kita lihat, Telegram pula banyak dikaitkan dengan scam, judi dalam talian, sebaran maklumat peribadi dan sensitif serta cetak rompak.

“Kami dapati Telegram tidak lakukan apa-apa tindakan atau sangat lewat dan sangat lembab untuk ambil tindakan tentang perkara tersebut.

“Di platform X pula, ia ba­nyak dikaitkan dengan buli siber dan yang timbul sekarang ialah isu pornografi. Ketiga-tiga masalah ini secara umum memberi kesan negatif kepada rakyat terutama mangsa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN