KEMAMAN: Anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd. (EPIC) menerusi subsidiari, EPIC Solar Sdn. Bhd. (ESSB) merancang untuk memperluaskan rangkaian perkhidmatan pembangunan stesen janakuasa solar berskala besar fotovoltaik di sini.
Pengerusi ESSB, Dr. Mamad Puteh berkata, hasrat itu selari dengan misi syarikat itu untuk mengetengahkan sumber tenaga solar serta menyokong aspirasi negara dalam mencapai penggunaan 40 peratus tenaga boleh baharu menjelang 2035.
Beliau berkata, dalam mencapai hasrat tersebut, syarikat itu juga menjadi perintis projek solar di Pantai Timur dan menjadi syarikat pertama di negeri ini mempunyai ladang solar seluas 28 hektar di Teluk Kalong, dekat sini.
“Loji jana kuasa tersebut menjana tenaga solar berkapasiti sehingga 18.5 MegaWatt (MW) tenaga yang dibekalkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui grid nasional bagi tempoh 21 tahun iaitu sehingga 2039,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Meraikan 150,000 Jam Bekerja Tanpa Kemalangan di Ladang Solar ESSB di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong di sini, baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Mukhtar Suhaili.
Mamad memberitahu, ladang solar tersebut mula dibangunkan sejak 2017 dengan pelaburan besar berjumlah kira-kira RM80 juta.
Menurutnya, ESSB turut melaksanakan pemasangan lampu jalan solar dan lampu limpah solar di terminal Dermaga Timur, bertepatan dengan matlamat menjadikan Pelabuhan Kemaman sebagai sebuah pelabuhan hijau.
“Pemasangan lampu jalan dan limpah yang dikategorikan sebagai perkhidmatan sokongan juga diperluas kepada pelanggan EPIC Bhd di Pengkalan Bekalan Kemaman (KSB), termasuk Petronas Carigali Sdn. Bhd.
“Selain itu, ESSB juga melangkah ke hadapan dengan mengeluarkan kenderaan EPIC Solar Car (ESCAR) yang lebih mesra alam iaitu inovasi hasil kolaborasi syarikat dengan Kolej Universiti TATI (UCTATI),” katanya.
Menurutnya, ESCAR bukan hanya digunakan untuk kegunaan di ladang solar ESSB, malah diperluas ke beberapa premis anak syarikat iaitu Kuala Terengganu Support Base (KPKSB) dan Sukma Samudra Sdn. Bhd. (SSSB).
“ESCAR merupakan inovasi kenderaan ringan atau bugi yang biasanya digunakan di kelab golf, industri perhotelan dan kawasan pelancongan dan kenderaan ini mengguna pakai tenaga elektrik yang dijana oleh tenaga solar disimpan dalam bateri.
“Antara kelebihan ESCAR adalah dapat menjimatkan penggunaan elektrik dan kenderaan ini akan ditambah baik serta akan dikomersialkan pada masa akan datang,” katanya.-UTUSAN










