MELAKA: Bekas penyanyi dan pelakon, Bibiana Layola atau nama sebenarnya Nur Habibah Abdullah tidak berhajat kembali semula ke persada seni yang pernah menaikkan namanya.
Beliau yang memegang watak utama dalam filem Rozana Cinta ‘87 arahan pengarah, Nasir Jani kini lebih selesa terlibat dengan pertubuhan bukan kerajaan, Gerakan Kongsi Rezeki (GKR) bagi membantu golongan memerlukan bantuan.
Penyanyi kumpulan Skyfire itu berkata, sudah hampir 19 tahun beliau meninggalkan bidang lakonan dan nyanyian.
“Sejak 2005 saya tidak lagi aktif menerima tawaran berlakon filem atau drama, sebaliknya ketika itu lebih suka menyanyi di kelab dan menjalankan perniagaan kecil-kecilan.
“Saya mengambil keputusan meninggalkan terus industri seni ketika berusia 35 tahun kerana komitmen kerja dengan sebuah syarikat pelancongan. Ketika itu saya susah untuk bercuti panjang jika menerima tawaran berlakon, jadi setelah berfikir semasak-masaknya saya mengambil keputusan mengundur diripada persada seni.
“Rozana Cinta ‘87 adalah filem terakhir lakonan saya dan selepas itu menyepi terus dari dunia lakonan sama ada filem mahupun drama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Bibiana yang juga kakak kepada pelakon, Nor Aliah Lee, faktor lain mendorongnya meninggalkan dunia seni kerana ingin memberi tumpuan kepada rumah tangga dan anaknya.
Beliau yang turut berlakon dalam beberapa filem seperti Femina (1994), XX Ray (1992) dan Mira Edora (1990) tidak berasa menyesal dengan keputusan diambil walaupun ketika itu namanya menjadi perhatian pengarah-pengarah filem.
“Alhamdulillah kehidupan saya sekarang tenang dan kini menjalankan perniagaan salon gunting rambut di samping bergiat aktif dengan kerja-kerja amal bersama GKR,” katanya yang kini menetap di Durian Tunggal, Alor Gajah dekat sini. – UTUSAN











