KUALA NERUS: Semua 32 institusi Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara bakal diperkasakan bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, antara inisiatif ialah memperkenalkan kursus premium atau pengkhususan khas mengikut institusi TVET di setiap negeri.
Menurut beliau, cadangan tersebut masih di peringkat cadangan, namun memberi gambaran bakal dilaksanakan selepas mendapat permintaan tinggi, selain bertujuan menarik minat lebih ramai pelajar.
“Sasarannya ialah untuk menyediakan satu kursus premium di setiap institusi tetapi perkara itu perlu dibawa ke kabinet dahulu dan boleh direalisasikan jika dipersetujui pengurusan tertinggi.
“Contohnya di Pengerang, Johor terkenal dalam bidang minyak dan gas, jadi kita boleh perkukuhkan kursus itu di institusi kemahiran kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia.
“Terengganu pula melahirkan ramai pekerja mahir dalam bidang ukiran dan menjadi kursus premium. Kita akan lihat juga institusi di negeri-negeri lain, itu gambarannya,” katanya.
Abdul Rahman berkata demikian selepas Majlis Perasmian Karnival Jelajah Madani Jom Masuk TVET Zon Timur 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu di sini, hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Lipis itu, kerajaan komited untuk melahirkan lebih ramai lagi pekerja kemahiran tinggi dan berpendidikan dengan menjadikan TVET antara agenda utama masa depan negara.
Tambah Abdul Rahman, Malaysia dilihat berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran itu selari Dasar TVET Negara 2030 iaitu melahirkan 35 peratus individu berkemahiran.
“Kita ambil contoh negara maju seperti Jerman, Switzerland serta China yang berjaya dalam bidang TVET dan mempunyai peratusan kebolehpasaran kerja yang sangat tinggi.
“Malaysia juga sedang ke arah itu dan kita boleh lihat TVET kini bidang yang sangat penting dan menjadi agenda negara bagi mendepani isu serta cabaran pada masa depan,” katanya. – UTUSAN










