BALING: Kegembiraan calon-calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mengambil keputusan peperiksaan bersama ibu bapa masing-masing tidak dapat dirasai oleh salah seorang pelajar cemerlang yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0.
Mohd. Danial Syazwan Mohd. Fazli, 20, berkata, ibunya, Siti Hajar Saleh, 42, sedang terlantar sakit di hospital akibat penyakit asma dihidapinya, manakala bapanya, Mohd. Fazli Arifin, 54, merupakan orang kurang upaya (OKU).
Katanya, walaupun hadir mengambil slip keputusan STPM 2023 yang diumumkan itu tanpa mereka, dia bersyukur dan puas apabila dapat menghadiahkan PNGK 4.0 kepada kedua-dua ibu bapanya dalam keadaan mereka sekeluarga serba kekurangan.
“Ibu sedang menerima rawatan di Hospital Baling akibat penyakitnya dan dengan status bapa sebagai seorang OKU, ianya memberi dorongan untuk saya terus belajar sehingga memperolehi keputusan sebaik ini agar cita-cita menjadi guru mata pelajaran Sejarah tercapai.
“Tips untuk belajar adalah kena rajin sahaja, kalau malas memang kita akan ketinggalan atau gagal, guru-guru memang banyak membantu bagi penerangan yang lebih jelas sekiranya saya tidak faham sesuatu mata pelajaran,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling, semalam.
Menurut Mohd. Danial Syazwan, dia memperuntukan dua ke tiga jam waktu untuk mengulang kaji pelajaran setelah solat tahajud setiap hari sebelum berhenti untuk menunaikan solat Subuh dan bersiap ke sekolah serta menyambung semula ulang kaji pada sebelah malam.
Sementara itu, Syamsinar Saidi, 20, yang turut mendapat PNGK 4.0 menjadikan dorongan ibu bapanya, Saidi Bakar, 60, dan Halimah Wan Embong, 52, sebagai penguat semangat untuk belajar bersungguh-sungguh.
“Mereka sering berpesan supaya tidak terlalu stres ketika belajar dan mereka sentiasa beri semangat serta dorongan untuk saya terus belajar sehingga mendapat keputusan yang cemerlang ini.
“Selain itu, guru-guru juga banyak bantu dan saya selalu ikut cara belajar yang guru berikan untuk fokus di dalam kelas di samping belajar secara berkumpulan bersama rakan-rakan,” katanya.
Aida Nasuha Mohd. Sohkeri Hadafi, 20, pula gembira dapat menghadiahkan keputusan PNGK 3.92 kepada ibunya, Sharifah Ishak yang bekerja sebagai tukang cuci di SMK Baling.
“Saya bersyukur sangat-sangat dan bangga kerana sebagai anak tukang cuci pun mampu memperolehi kejayaan yang cemerlang seperti rakan-rakan lain. Ibu sentiasa berpesan agar jadikan ilmu sebagai salah satu usaha untuk mengeluarkan diri daripada kepompong kemiskinan dan saya tanamkan azam untuk ubah kehidupan keluarga menjadi lebih baik suatu hari nanti,” katanya. -UTUSAN











