WASHINGTON: Polis Capitol Amerika Syarikat (AS) menahan aktivis Yahudi yang mengadakan protes untuk membantah sokongan Washington terhadap Israel di dalam bangunan Kongres, di Capitol Hill semalam.
Protes yang dianjurkan kumpulan aktivis anti-Zionis, Jewish Voice for Peace (JVP), diadakan sehari sebelum Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dijadualkan berucap kepada Kongres.
Ratusan penunjuk perasaan mengadakan protes mengejut di Bangunan Cannon, bagi menggesa AS menghentikan penghantaran senjata ke Israel dan menentang pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Dengan berpakaian baju-T merah bertulis ‘bukan atas nama kami’, kumpulan penunjuk perasaan itu melaungkan slogan ‘bebaskan Palestin’ dan ‘gencatan senjata segera’.
Demonstrasi itu dirancang bertepatan dengan lawatan Netanyahu di AS untuk bertemu Presiden Joe Biden, Naib Presiden, Kamala Harris dan calon dari Republikan, Donald Trump.
“Sejak sembilan bulan lalu, kami menyaksikan banyak kekejaman di Gaza, dilakukan atas nama kami dan dibiayai oleh kerajaan kami,” tulis Jewish Voice for Peace di media sosial.
Katanya, lebih 250 penunjuk perasaan ditangkap dan kira-kira 400 orang hadir dalam protes itu.
Bagaimanapun, polis tidak segera memberikan angka tangkapan.
“Kami memberitahu orang ramai, yang masuk secara sah, supaya berhenti atau mereka akan ditangkap. Mereka tidak berhenti, jadi kami menangkap mereka,” kata polis dalam satu kenyataan.
Polis Capitol mengisytiharkan kawasan itu sebagai zon tertutup dan menahan ratusan penunjuk perasaan yang enggan bersurai.- REUTERS










