MANILA: Seorang lelaki maut selepas dipaksa pengawal keselamatan kampung melakukan senaman squat sebanyak 300 kali sebagai hukuman kerana melanggar arahan menjalani kuarantin di rumah.
Darren Manaog Penaredondo, 28, ditangkap kerana membeli air selepas pukul 6 petang yang didakwa melanggar arahan berkurung Covid-19 di bandar Trias, wilayah Cavite.
Wilayah itu dilaporkan berada di bawah status kuarantin diperketatkan termasuk perintah berkurung dari pukul 6 petang hingga 5 pagi.
Rakan mangsa, Reichelyn Balce memberitahu Rappler, Penaredondo dan seorang lelaki lain yang didakwa melanggar perintah sekatan Covid-19 dibawa ke Plaza Malabon di hadapan dewan perbandaran dan melakukan senaman tekan tubi 100 kali, Khamis lalu.
Katanya, pihak berkuasa menghukum mereka mengulangi senaman itu sekiranya tidak selari dan akhirnya memaksa mereka berdua melakukan squat sebanyak 300 kali.
“Mangsa terlalu penat untuk berjalan sehingga terpaksa merangkak. Kemudian hari seterusnya, dia mengalami sawan dan jantungnya berhenti berdegup. Dia kemudian disahkan mati sekitar pukul 10 malam,” ujar Balce.
Ketua Polis Trias, Leftenan Kolonel Marlo Nillo Solero berkata, tiada hukuman seperti itu yang dikenakan terhadap individu yang melanggar perintah sekatan Covid-19, sebaliknya pihak polis hanya memberikan amaran.
Datuk Bandar, Antonio Ferrer pula mengesahkan kenyataan dalam Facebook dan menjelaskan penyiasatan masih berjalan.










