JOHOR BAHRU: Suspek terakhir yang diberkas berkaitan penculikan seorang kanak-kanak perempuan, Albertine Leo Jia Hui, 6, di Eco Galleria, Iskandar Puteri, Sabtu lalu ditahan reman tujuh hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 31 tahun itu dikeluarkan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.
Suspek yang ditahan di sebuah hotel bajet di Batang Kali, Selangor, pada pukul 4.45 pagi tadi tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada 3 petang dengan tangan bergari dan dikawal ketat anggota polis.
Suspek yang dibawa dari Selangor ke negeri ini dilihat memakai baju festival Bon Odori Johor yang dianjurkan di Eco Galleria, Iskandar Puteri.
Terdahulu, empat suspek berusia antara 28 hingga 55 tahun direman selama empat hari bermula hari ini.
Sabtu lalu, Jia Hui didapati hilang kira-kira pukul 8.30 malam ketika festival Bon Odori berlangsung di Eco Galleria.
Mangsa yang juga anak ketiga daripada empat beradik berjaya diselamatkan polis di sebuah hotel bajet di Batang Kali, Selangor awal pagi tadi. – UTUSAN










