Henti hukum penagih dadah

Henti hukum penagih dadah

PINDAAN dibuat selari dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mendefinisikan penagih dadah sebagai seorang penagih pesakit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MALAYSIA merupakan sebuah negara yang mempunyai undang-undang dadah antara yang ekstrim di dunia dan mula diperkenalkan pada 1952 melalui pewartaan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Undang-undang ini dilihat agak ketinggalan dan memberi penekanan tinggi kepada hukuman berat bagi pengedar dan penagih dadah.

Baru-baru ini, hangat dibincangkan dalam dan di luar Dewan Rakyat berkaitan pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Namun, setelah bacaan kali kedua dalam dewan, perbahasan ditangguhkan pada masa lain bagi membolehkan ia diperhalusi oleh semua pihak melalui sesi libat urus lanjutan bersama semua pemegang taruh, pakar bidang, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kali ini, pindaan yang dibuat selari dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mendefinisikan penagih dadah sebagai seorang penagih pesakit. Definisi ini digunapakai di peringkat antarabangsa sejak 1987 lagi.

Jadi, pentakrifan penagihan sebagai penyakit merupakan langkah tepat kerana ia membantu mengurangkan stigma dan menggalakkan individu yang menghadapi masalah ketagihan untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan.

Namun, isu ini masih diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri dan bukannya Kementerian Kesihatan yang bertanggungjawab ke atas isu kesihatan negara.

Pindaan ini memfokuskan kepada memperbaiki kecekapan dan proses pemberian perkhidmatan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Memberikan kuasa tertentu kepada pegawai AADK dalam mempercepatkan pengesahan penagih dadah yang ingin mendapatkan rawatan secara sukarela, tanpa perlu melalui ujian patologi yang memakan masa.

Ibu bapa juga perlu dilibatkan dalam pemulihan dadah untuk golongan bawah umur, namun bukanlah secara paksaan dan tidak menghukum ibu bapa yang gagal mengikuti rawatan bersama anak.

Konsep pengukuhan positif perlu diterapkan dengan memberikan ganjaran seperti cuti tanpa rekod, elaun khas, atau elaun pengangkutan untuk menggalakkan kehadiran mereka dalam proses rawatan dan pemulihan anak.\

Perluasan liputan dan akses kepada rawatan dadah akan meningkatkan jumlah individu yang memerlukan rawatan, melebihi kapasiti fasiliti kerajaan di bawah AADK.

Oleh itu, kerajaan perlu meningkatkan kemampuan AADK dari segi sumber manusia dan fasiliti serta melibatkan NGO dan pusat pemulihan persendirian.

Penagihan dadah adalah penyakit kronik yang berulang dengan kadar 40 hingga 60 peratus kemungkinan untuk penagih menagih semula. Untuk mencegah penagihan semula, faktor pelindung seperti pekerjaan dan pendapatan stabil perlu dipertingkatkan.

Namun, rekod jenayah penagihan menyukarkan bekas penagih mendapatkan pekerjaan dan pindaan akta yang dibahaskan tidak menangani isu ini.

Selain itu, tempoh pengawasan penagih yang panjang di satu kawasan perlu dikaji semula kerana lebih banyak kemudaratan. Maka, seseorang yang dalam proses pemulihan dadah adalah digalakkan berpindah ke tempat lain yang mana akses kepada dadah sukar diperoleh dan membantu menjalani kehidupan normal dalam masyarakat.

Melalui teknologi dan perhubungan moden pada masa kini, kaedah pengawasan juga mungkin boleh ditingkatkan dan dipermudahkan supaya lebih praktikal pada zaman sekarang.

Secara keseluruhannya, pindaan ini jika dilaksanakan dengan teliti dan inklusif, berpotensi besar untuk membawa perubahan positif dalam landskap rawatan dan pemulihan dadah di negara ini.-UTUSAN

DR. MOHAMAD SALLEH ABDUL GHANI
Pensyarah Kanan
Jabatan Pembangunan
Manusia dan Pengajian Keluarga
Fakulti Ekologi Manusia
Universiti Putra Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×