SELAYANG: Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan Kolej Tingkatan Enam Premium hasil kerjasama silang dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPTM) mulai tahun depan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia bagi meneruskan kegemilangan dan menyambut hasrat kerajaan bagi melihat aliran tingkatan enam menjadi antara arus pendidikan utama pilihan pelajar pada masa depan.
Oleh demikian, beliau berkata, pelbagai inisiatif penting dilaksanakan termasuk program khusus seperti aliran tingkatan enam premium.
“Hasil silang kementerian antara KPM dan KPTM adalah Kolej Tingkatan Enam Premium yang akan kita mulakan tahun hadapan yang memberikan tumpuan kepada golongan ini bagi memastikan mereka diberikan fokus dalam projek atau program khas ini.
“Ia antara lain bagi memastikan kedudukan, pencapaian dan sumbangan mereka dalam bidang lain dapat kita berikan tumpuan,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Peringkat Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM) 2023 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM mendapat kerjasama yang baik daripada semua pihak dan akan memperhalus cadangan diberikan sebelum mengumumkannya apabila semua peringkat penyelarasan selesai.
“Ia masih dalam proses penyelarasan di peringkat KPT dan kita harap program dapat dilaksanakan ambilan pertamanya tahun hadapan,” katanya.
Menurut Fadhlina antara penambahbaikan lain yang sedang diperhalusi pihaknya adalah pemberian elaun kepada pelajar tingkatan enam.
“Itu antara usaha kita untuk menjaga kebajikan mereka. Ia akan diteruskan termasuk mengangkat cadangan ini ke peringkat belanjawan pada tahun ini,” katanya. – UTUSAN










