MELAKA: Seorang pemuda berusia 19 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merompak pelancong dengan melarikan wang tunai berjumlah AS$100 sehingga mendatangkan kecederaan.
Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Alif Syazwan Mohd. Asr mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh dengan niat didakwa telah melakukan rompakan tanpa senjata sehingga mendatangkan kecederaan dan melarikan wang tunai AS$100 dengan anggaran nilai lebih kurang RM470.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 5.05 petang di Jonker Car Park, Jalan Portugis, Kampung Dua dalam daerah Melaka Tengah pada 15 Julai 2024.
Mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen dan kanun sama, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom mencadangkan jaminan RM15,000 manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan tidak bekerja.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 September ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










