SEREMBAN: Seorang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2023 aliran agama mengamalkan tiga surah dalam al-Quran setiap hari yang membantunya belajar dengan tenang.
Nur Nilam Murni Mohd. Sharazat, 20, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Haji Mohd. Said di Seremban memperoleh keputusan PNGK 4.00 seterusnya muncul antara 45 pelajar terbaik di Negeri Sembilan.
Menurut Nur Nilam, tiga surah al-Quran yang menjadi rutin amalannya ialah surah Ar-Rahman, Al-Waqiah dan Al-Hadid kerana surah berkenaan mempunyai kelebihan tersendiri.
“Surah Ar-Rahman berkaitan sifat saling menyayangi, saya dapat rasa ketenangan ketika cikgu mengajar selain setiap subjek yang dipelajari senang diterima.
“Seterusnya, surah Al-Hadid melembutkan hati serta amalan surah Al-Waqiah membuatkan hati saya lebih terang dalam menerima setiap pembelajaran,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2023 Negeri Sembilan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mantin di sini hari ini.
Nur Nilam yang merupakan anak sulung kepada ibu bapa yang bekerja di sebuah kilang elektronik juga berkata, selain berusaha keras dia sentiasa menjaga hubungan dengan Allah.
“Bukan sekadar banyak membuat latihan, rahsia utama kejayaan saya ialah menjaga hubungan dengan Allah serta ibu bapa, cikgu dan rakan-rakan. Saya bersyukur berkat doa orang-orang terdekat saya berjaya memperoleh kecemerlangan dalam STPM,” katanya yang telah mendapat panggilan temuduga untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan Islam dari Universiti Malaya.
Sementara itu, pelajar cemerlang STPM 2023 aliran Sains Sosial, Lee Shan Rou, 19, dari SMK Tunku Ampuan Durah di sini berkata, disiplin merupakan kunci kejayaannya selain menggunakan nota.
“Saya mengulangkaji terutama subjek pengajian perniagaan menggunakan nota peta i-think, cara ini lebih berkesan kerana banyak yang perlu dihafal.
“Untuk berjaya perlukan disiplin yang tinggi dan jangan pernah putus asa, STPM bukan mudah jika sudah mengambil jalan ini lakukan yang terbaik untuk capai kejayaan,” katanya.
Shan Rou merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan bapanya bekerja sebagai pemandu lori manakala ibunya seorang jurutera.
“Saya ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kewangan atau akauntan,” katanya.-UTUSAN.










