HUALIEN: Taiwan mengehadkan latihan perang tahunan Han Kuang hari ini, berikutan Taufan Gaemi mula menghampiri pulau itu.
Gaemi, taufan pertama musim ini yang menjejaskan Taiwan, dijangka mendarat di pantai timur laut antara 24 Julai dan awal pagi 25 Julai, menurut Pentadbiran Cuaca Pusat pulau itu.
Susulan itu, kerajaan Taiwan mengeluarkan amaran darat memandangkan angin kencang dan hujan lebat yang dijangka melanda kawasan pantai.
Gaemi kini dikategorikan sebagai taufan dengan kekuatan sederhana oleh Taiwan, dan ia kemudian dijangka bergerak melintasi Selat Taiwan dan seterusnya membadai wilayah tenggara China, Fujian, pada 26 Julai.
Kerajaan mengeluarkan amaran darat untuk taufan, yang berpusat di timur Taiwan, bermakna kemungkinan besar taufan akan mendarat di kawasan itu.
Pentadbiran cuaca berkata, beberapa daerah di kawasan pergunungan tengah dan selatan Taiwan dijangka menerima jumlah hujan yang tinggi semasa taufan.
Latihan ketenteraan tahunan Han Kuang Taiwan yang berlangsung minggu ini dikurangkan, termasuk pembatalan latihan jet pejuang di pantai timur, kata Kementerian Pertahanan.
Jurucakap kementerian, Sun Li-fang berkata, kesan daripada taufan di pantai timur agak jelas buat masa ini.
“Oleh itu, kami akan menyesuaikan beberapa elemen udara dan laut, memandangkan keadaan taufan ini,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Pengangkutan Taiwan memaklumkan semua perkhidmatan feri ke Pulau Hijau dan Pulau Orkid, yang terletak di pantai tenggara, dibatalkan pada hari ini.
Katanya, empat penerbangan domestik juga dibatalkan, tetapi perkhidmatan antarabangsa masih belum terganggu.
Bandar di seluruh Taiwan juga boleh mengisytiharkan cuti taufan, yang akan menutup pasaran kewangan, sekolah dan pejabat, sekiranya mereka menilai risiko cuaca buruk sebagai teruk.- REUTERS











