STPM: Anak pencuci bangunan catat keputusan cemerlang

STPM: Anak pencuci bangunan hadiahkan keputusan cemerlang untuk ibu

AMSYAR Muawiyah Mohd. Sofi (kanan) menerima ciuman daripada ibunya, Mardiah Ismail selepas diumumkan sebagai antara pelajar cemerlang dalam STPM 2023 di Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang anak pencuci bangunan merupakan antara 70 orang pelajar cemerlang negeri ini yang memperoleh 4A dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023, yang diumumkan hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Amsyar Muawiyah Mohd. Sofi, 20, berkata, melihat kegigihan ibunya, Mardiah Ismail, 47, bekerja sebagai pencuci bangunan untuk menyara keluarga dengan gaji RM1,500 sebulan menjadi perangsang kepadanya untuk mengubah nasib keluarga.

Kata bekas pelajar Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin di sini itu, dia bergelar anak yatim pada usia 16 tahun selepas ayahnya, Mohd. Sofi Salleh, 48, yang juga merupakan seorang pekerja kilang meninggal dunia secara mengejut ketika itu.

“Selepas ayah meninggal dunia barulah mak saya bekerja sebagai pencuci bangunan di Mahkamah Pulau Pinang dan saya melihat mak bekerja keras untuk menyara saya dan adik yang berusia 18 tahun.

“Mak juga selalu pesan bahawa saya adalah harapan keluarga. Jadi, saya perlu berusaha membaiki nasib keluarga dengan belajar bersungguh-sungguh.

“Oleh itu, saya mahu hadiahkan keputusan cemerlang STPM hari ini kepada mak yang banyak memberi dorongan dan tidak putus berdoa untuk kejayaan saya,” katanya ketika ditemui di kolej berkenaan di sini, hari ini.

Selain Amsyar, tujuh lagi pelajar Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin turut mencatat keputusan cemerlang apabila memperoleh 4A dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam keputusan STPM 2023 dengan kesemua keputusan cemerlang itu disampaikan sendiri oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Roland @ Rozaidi Abu Hassan.

Mengulas lanjut, Amsyar yang menyimpan impian untuk menjadi seorang guru berkata, dia tidak pernah mengikuti mana-mana kelas tuisyen, sebaliknya, hanya menumpukan perhatian di dalam kelas sahaja.

“Saya meluangkan masa setiap dua atau tiga jam sehari untuk mengulangkaji pelajaran dan sering mengingati pesanan mak bahawa hanya pelajaran mampu mengubah nasib kami,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pelajar cemerlang STPM dari kolej tersebut yang memperoleh 4A dengan PNGK 4.00, Nur Fadzlina Thaulath, 20, berkata, keputusan cemerlang hari ini juga dihadiahkan khas kepada kedua ibu bapanya, Nabisha Abdul Jaleel, 47, serta Thaulath Darmenullansadee, 48.

Kata Nur Fadzlina, bapanya yang bekerja sebagai pembantu kedai di gerai roti canai di Jalan Gemas di sini adalah insan yang paling gembira selepas mendapat tahu dia memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan terbabit.

“Ibu dan bapa saya kebetulan turut datang ke sekolah hari ini dan mereka berdua paling gembira hari ini selepas dapat tahu saya berjaya peroleh keputusan cemerlang,” katanya yang berhasrat untuk menjadi seorang guru kerana mahu mendidik anak bangsanya sehingga berjaya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN