Seramai 171 calon STPM Johor peroleh PNGK 4.00 - Utusan Malaysia

Seramai 171 calon STPM Johor peroleh PNGK 4.00

MOHD. HANAFI Samad (dua dari kanan) dan beberapa pegawai menunjukkan laporan STPM 2023 Negeri Johor di Pejabat Pendidikan Negeri, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 171 atau 4.32 peratus daripada 3,977 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 di negeri ini memperoleh purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.00.

Pengarah Pendidikan negeri, Mohd. Hanafi Samad berkata, pencapaian itu merupakan peningkatan 11 calon berbanding seramai 160 orang pada STPM 2022.

Katanya, secara keseluruhan, PNGK STPM 2023 yang dicapai negeri ini adalah 2.98, mengatasi PNGK STPM 2023 peringkat kebangsaan, iaitu 2.84.

“Bilangan calon yang mendapat keputusan 5A dalam kelima-lima mata pelajaran diambil adalah seramai 10 calon, meningkat sebanyak 50 peratus berbanding pencapaian STPM 2022.

“Seramai 152 calon berjaya mendapat keputusan 4A dalam empat mata pelajaran yang diambil, bertambah seorang berbanding tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar Pengumuman Keputusan STPM 2023 di Jabatan Pendidikan Negeri Johor, di sini hari ini.

Mohd. Hanafi berkata, seramai tiga calon STPM 2023 negeri ini turut mendapat anugerah daripada Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) bagi Kategori Pelajar Terbaik STPM 2023 Peringkat Kebangsaan.

“Diana Shereen Ellysa Miswan bagi Aliran Sains Sosial di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sulaiman, Batu Pahat; Muhammad Hadiz Norazlin di SMK Tinggi Muar bagi Aliran Sains dan P. Paarmitha dari SMK Pasir Gudang 2 yang merupakan Calon Terbaik Sejarah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan empat mata pelajaran menunjukkan peningkatan melebihi dua peratus dari segi prestasi Lulus Penuh berbanding prestasi dicapai pada STPM 2022

“Empat mata pelajaran itu adalah Matematik Moden dengan peningkatan 30.9 peratus, Matematik Tambahan (6.25 peratus), Tahfiz Al-Quran (2.56 peratus) dan Biologi (2.37 peratus).

“Enam mata pelajaran STPM lain tidak berubah kerana beza peratusan calon Lulus Penuh antara tahun 2023 dan 2022 adalah kurang daripada dua peratus,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×