399 calon SPM 2023 daftar duduki semula peperiksaan

399 calon SPM 2023 daftar duduki semula peperiksaan

Sejumlah 402,956 orang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal memulakan sesi peperiksaan itu secara bertulis yang akan bermula pada 2 Januari hingga 6 Februari depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hanya 399 atau kira-kira 3.9 peratus daripada 10,160 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang tidak hadir peperiksaan itu, mendaftar semula untuk menduduki SPM tahun ini.

Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), jumlah pendaftaran calon peperiksaan SPM ulangan pada tahun ini meningkat sedikit berban­ding 338 calon yang mendaftar untuk menduduki semula pe­periksaan SPM 2023.

Katanya, angka itu adalah sebahagian daripada 14,858 calon yang tidak hadir menduduki peperiksaan berkenaan pada tahun 2022, menurut Lembaga Peperiksaan.

“Berdasarkan analisis keputusan peperiksaan SPM, daripada 338 orang calon tersebut, seramai 206 orang calon layak dianugerahkan sijil SPM.

“Sejumlah 54 orang calon tidak layak dianugerahkan sijil, manakala 78 orang calon tidak hadir dalam semua mata pelajaran yang didaftar,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Dalam pada itu, KPM memaklumkan, seramai 236,155 daripada 373,255 lepasan SPM 2023 telah ditawarkan pengajian ke tingkatan enam di mana kemasukan adalah dalam bentuk tawaran bukan melalui permohonan.

Katanya, semua lepasan SPM yang memenuhi syarat am dan khas ditetapkan akan ditawarkan ke tingkatan enam.

“Tingkatan enam mempunyai kelebihan seperti jangka masa pembelajaran lebih singkat iaitu hanya setahun sete­ngah atau tiga semester.

“Syarat am untuk masuk ke tingkatan enam ialah lulus SPM dengan mendapat sekurang-kurangnya kepujian bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan berumur antara 17 hingga 20 tahun pada 1 Januari pada tahun 2024.

“Selain itu, syarat khas adalah seperti mendapat sekurang-kurangnya tiga kepujian de­ngan jumlah mata gred tidak melebihi 18 unit bagi tiga mata pelajaran daripada kumpulan yang ditetapkan mengikut bidang pengajian iaitu Sains, Sains Sosial dan Sains Sosial (Agama),” katanya.

Sementara itu, Bahagian Matrikulasi pula menerima 108,441 permohonan bagi mengikuti Program Matrikulasi KPM sesi 2024/2025.

Bagaimanapun, hanya 30,000 tempat ditawarkan kepada lepasan SPM yang memenuhi syarat am dan khusus kemasukan ke Program Matrikulasi dalam jurusan Sains, Kejuruteraan, Perakaunan dan Perakaunan Profesional.

Lepasan SPM juga boleh membuat pilihan dengan mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) iaitu program persediaan selama satu tahun dan program ijazah selama empat tahun.

“Ini juga merupakan laluan cepat dan selamat kepada lepasan SPM. Calon PISMP akan ditempatkan di Institut Perguruan yang terdapat hampir di semua negeri di Malaysia mengikut pilihan kursus,” katanya.

KPM pada masa sama beriltizam menyediakan akses kepada pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang itu peringkat diploma di kolej vokasional (KV).

Selain itu, KPM menyediakan laluan lepasan diploma di KV ke Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) bagi meneruskan pengajian dalam bidang TVET di peringkat Ijazah Sarjana Muda; manakala lepasan sekolah menengah teknik (SMT) dan

sekolah menengah kebangsaan (SMK) ke program Matrikulasi Kejurute­raan KPM.

“KPM menasihatkan kepada lepasan SPM yang tidak lulus supaya tidak berputus asa ke­rana kegagalan SPM bukanlah pengakhiran segala-galanya­nya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×