PETALING JAYA: Era industri teksi konvensional bakal bangkit semula selepas beberapa pembaharuan dilaksanakan oleh pemain industri tersebut yang memfokuskan menarik semula keyakinan penumpang terhadap perkhidmatan itu.
Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia (GTSM), Kamarudin Hussain berkata, kebangkitan semula membabitkan kira-kira 30,000 teksi bakal melebihi industri e-hailing yang sebelum ini menjejaskan mereka.
Menurut beliau, pihaknya yakin kerajaan akan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 yang secara langsung akan membantu industri teksi konvonsial.
“Apabila penyarasan itu dilaksanakan, kami di sektor perkhidmatan teksi akan tersenarai dalam perkhidmatan yang akan mendapat subsidi dan kami yakin 100 peratus perkhidmatan e-hailing yang menggunakan kenderaan persendirian tidak akan tersenarai.
“Pemandu-pemandu e-hailing ketika itu, akan berhadapan dengan kadar harga petrol yang tinggi tetapi kadar upahnya sangat rendah. Secara automatik mereka akan mengintai-intai peluang pekerjaan lain yang akan diwujudkan oleh kerajaan menerusi kemasukan pelabur-pelabur luar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Februari lalu, akhbar ini mendedahkan, kira-kira 30,000 buah teksi kini tersadai di seluruh negara selepas pemandunya memilih untuk berhenti kerana tidak sanggup lagi bersaing dengan perkhidmatan e-hailing dan isu berbangkit yang tidak selesai.
Terdahulu, Kementerian Ekonomi berkata, mekanisme penyasaran subsidi RON95 akan menggunakan sepenuhnya data Pangkalan Data Utama (PADU) manakala penentuan kumpulan sasar pula ditentukan berdasarkan pendapatan boleh guna bersih isi rumah.
Ini membuktikan bahawa penyasaran subsidi RON95 akan dilaksanakan oleh kerajaan tidak lama lagi selepas melihat keberkesanan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia.
Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, ketika itu perkhidmatan teksi akan menjadi pilihan utama penumpang semula.
“Insya Allah apabila kami bangkit semula iaitu selewat-lewatnya pada awal tahun depan, kami akan menggunakan perkhidmatan e-hailing. Kami sebenarnya adalah pihak terawal menggunakan ia sebelum disalahguna oleh kenderaan persendirian,” katanya.
Ditanya mengenai pembaharuan yang akan dilakukan oleh industri teksi, beliau berkata, perkara tersebut sedang dijalankan oleh pihaknya dan disokong oleh Kementerian Pengangkutan.
“Kita akan melancarkan perkhidmatan teksi baharu bagi menggantikan perkhidmatan sedia ada atau teksi ‘merah putih’ yang agak usang dan ketinggalan zaman,” jelasnya.











