SAUDARA PENGARANG,
SAYA berharap pihak Hospital Pakar Kanak-Kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) dapat mempertimbangkan untuk menurunkan kadar caj tempat letak kereta bagi pelanggan.
Ini kerana, saya perlu membayar RM27 selepas bermalam akibat anak dimasukkan ke wad, hospital berkenaan, baru-baru ini.
Bayangkan, kalau pelanggan lain yang perlu bermalam sehingga seminggu, sudah tentu caj yang dikenakan melambung tinggi.
Rata-rata pelanggan hospital ini adalah kakitangan kerajaan yang bebas menikmati kemudahan secara percuma, namun ada pula ‘caj tersembunyi’ parkir yang perlu ditanggung.
Saya mencadangkan agar kadar setengah jam berikutnya dicaj RM1 perlu dipanjangkan tempoh masa, contohnya seperti tiga jam berikutnya RM1, atau amalkan konsep bayaran sekali masuk.
Caj mahal juga terpaksa ditanggung ratusan pesakit di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) yang terletak bersebelahan. Malah, saya juga pernah mengalami pengalaman serupa ketika isteri bersalin anak sulung.
Caj yang dikenakan melebihi RM20 menyebabkan saya berasa sedikit terbeban. Seingat saya, kadar tempat letak kereta hospital swasta tidaklah terlalu mahal.
HPKK UKM adalah hospital yang disubsidi sebahagian oleh kerajaan dan separuh swasta. Saya kira, pertimbangan dan kewajaran ini perlu diambil kira agar caj parkir lebih mesra pelanggan.-UTUSAN
WAFIQ MUZAKKIR
Kuala Lumpur










