Koperal didakwa rasuah mengaku tidak bersalah - Utusan Malaysia

Koperal didakwa rasuah mengaku tidak bersalah

SAZALI Lokhman (kiri) dikawal pegawai SPRM ketika dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah,  dua tahun lepas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tertuduh, Sazali Lokhman, 32, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan.

Mengikut pertuduhan pertama, Sazali didakwa meminta rasuah sebanyak RM40,000 daripada seorang wanita berusia 26 tahun sebagai dorongan untuk membantu menurunkan seksyen kesalahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kawasan Perindustrian Bandar Darul Aman di Kubang Pasu, dekat sini pada pukul 2 petang, 29 November 2022.

Dalam pertuduhan kedua, Sazali didakwa menerima rasuah sebanyak RM10,000 daripada wanita berkenaan di lokasi dan waktu yang sama dalam sebuah kenderaan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menerima rasuah sebanyak RM9,000 daripada seorang lelaki berusia 30 tahun sebagai dorongan untuk menurunkan seksyen lelaki terbabit di Jalan Langgar, di sini pada pukul 9 malam, 30 November 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Kedah, Mohd. Zulfadli Azharudin sementara tertuduh yang mempunyai seorang isteri dan anak berusia enam tahun diwakili peguam, Muhamad Samsul Nizam Sohhimi.

Mohd. Zulfadli meminta mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM60,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, sebelum peguam membuat rayuan dengan alasan tertuduh hanya memperoleh gaji RM1,500 dan menanggung keluarga termasuk ibu berusia 57 tahun.

Hakim kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM20,000 selain memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport sempadannya selain melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Beliau turut menetapkan 18 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan tersebut. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN