IPOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak memberi sokongan sepenuhnya kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, jika berhasrat bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti itu, tidak lama lagi.
Pada masa sama, Badan Pimpinan Bersatu Perak juga menyokong mana-mana pemimpin parti itu dari negeri ini yang menawarkan diri bertanding di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan sayap-sayap parti pada pemilihan di peringkat pusat tahun ini.
Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, menjelaskan ketetapan itu dibuat pada mesyuarat badan kepimpinan tersebut di sini malam tadi.
“Keputusan untuk menyokong Ahmad Faizal bertanding jawatan Naib Presiden dicapai sebulat suara,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, Ahmad Faizal mengumumkan tidak mempertahankan jawatan Timbalan Presiden parti tersebut pada pemilihan kali ini.
Keputusan itu sekali gus memberi laluan kepada Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, untuk mengisi jawatan tersebut.
Menurut Zainol Fadzi, Badan Pimpinan Bersatu Perak membuat ketetapan sebulat suara menyokong sepenuhnya seruan pelan cadangan penyatuan yang diilhamkan oleh Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa Konvensyen Bersatu tempoh hari.
Ujarnya, Badan Pimpinan Bersatu Perak amat yakin dan percaya cadangan dan tersebut mampu mewujudkan keharmonian dan kesepaduan di kalangan pimpinan hinggalah ke peringkat ahli akar umbi.
Jelas beliau, Badan Pimpinan Negeri Perak akur dan menyatakan taat setia kepada Presiden dan mendokong prinsip mengutamakan kepentingan parti daripada individu demi masa depan parti dalam mengharungi perjuangan ke arah Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16). – UTUSAN










