HULU SELANGOR: Reman suspek lelaki dipercayai terlibat kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, dilanjut selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.
Perintah sambung reman selama tujuh hari bermula esok sehingga 29 Julai dikeluarkan oleh Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza selepas mendengar permohonan polis di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, di sini susulan tempoh reman pertama suspek tamat, hari ini.
Perintah itu dilakukan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Suspek berusia 26 tahun yang juga seorang anggota di balai di Perak dilihat memakai baju lokap warna oren dilihat tiba menaiki kereta polis pada pukul 9.04 pagi.
Lelaki itu dilihat bergari dan diiring beberapa anggota polis masuk ke dalam mahkamah.
Minggu lalu, suspek berpangkat Lans Koperal direman tujuh hari bermula 16 Julai bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu.
Media sebelum melaporkan suspek ditahan 15 Julai pada hari yang sama penemuan mayat Nur Farah Kartini di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor.
Susulan itu, polis telah menemukan telefon pintar dipercayai milik mangsa di dalam parit ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang pada 17 Julai.
Keesokan harinya, beg tangan wanita dipercayai milik Nur Farah Kartini turut ditemui ketika operasi pencarian di Sungai Trolak Kampung Batu, Perak.
Jenazah Allahyarham Nur Farah Kartini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan di Pahang.
Bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu sebelum ini dilaporkan hilang pada 10 Julai sebelum laporan polis dibuat pada keesokan hari. – UTUSAN











