APABILA kenderaan anda dilengkapi teknologi bantuan keselamatan pemanduan yang terkini, ia seperti sudah tidak lagi memadai pada sesetengah individu. Justeru, apa lagi yang dicari untuk membolehkan kenderaan anda mempunyai kelainan daripada kenderaan-kenderaan lain di pasaran?
Volkswagen (VW) merasakan, melengkapkan prestasi sebuah kenderaan perlumbaan pada kenderaan awam mungkin mampu memberikan sesuatu yang berbeza atau unik dalam pasaran.
Oleh itu, VW memutuskan untuk memasarkan Golf R untuk mereka yang menginginkan prestasi sebuah jentera lumba, lengkap dengan sistem bantuan keselamatan pemanduan elektronik terkini tetapi masih lagi ingin ‘berselindung’ dengan imej luaran kereta awam.
VW memilih model Golf berdasarkan rekod penjualannya yang lampau. Model Golf GTI IQ DRiVE yang pernah saya pandu uji tahun lepas, mendapat sambutan ramai apabila Golf GTI yang sebelumnya juga sememangnya terkenal dengan prestasi enjinnya.
Kini untuk 2024, pasaran dikejutkan pula dengan Golf R yang bukan sahaja lengkap dengan sistem bantuan pemanduan elektronik IQ DRiVE, tetapi kini lengkap dengan penambahan prestasi lebih sporty, mod perlumbaan, malah boleh dilaras secara elektronik mengikut selera dan keperluan pemandunya.
REKA BENTUK KOSMETIK (LUARAN)
Secara keseluruhan, ia tidak jauh lari daripada imej Golf GTI. Masih sebuah model ‘hatchback’ atau mungkin ada yang ingin mengkategorikannya semula sebagai fastback. Golf R ini sememangnya tampak rendah tetapi tidak perlu bimbang apabila perlu melalui jalan raya yang mempunyai bonggol, terutamanya di laluan dalam taman perumahan.
Jika dilihat di bahagian belakang, tiada perkataan lain yang tertera kecuali logo VW besar yang juga bertindak sebagai pembuka bonet belakang dan huruf ‘R’.
Malah, tiada logo Golf atau GTI atau pun IQ DRiVE. Satu keadaan yang unik dan mengujakan.
Terlanjur sudah berada di belakang kereta, pemandangan tertumpu kepada empat corong ekzos yang kini menghiasi bumper belakangnya. Menggunakan jenama Akrapovic yang pasti dikenali oleh pencinta sukan lumba.
Sistem ekzos Akrapovic ini diperbuat daripada titanium bukan sahaja menghasilkan bunyi padu lengkap dengan ‘letupan-letupan’ kecil ketika perubahan gear kelajuan, malah ia dikatakan ringan tujuh kilogram (kg) daripada berat asal sistem ekzos biasa yang digunakan pada model Golf yang lain.
Spoiler belakang juga didapati lebih besar berbanding model Golf/GTI yang lepas. Selain
melambangkan konsep perlumbaannya, ia sudah tentu berfungsi untuk melempiaskan aruhan angin ke belakang untuk menambah kestabilan kenderaan ketika kelajuan tinggi.
Rimnya kini berukuran 19 inci jenis aloi dan lengkap dengan kaliper brek berwarna biru serta berlogo R untuk menambah penampilan sebuah kenderaan sport yang serius.
Melangkah masuk ke dalam kabinnya disambut pula dengan kerusi ala perlumbaan yang dibaluti dengan kulit premium ‘Nappa’ lengkap dengan sulaman logo R.
Papan pemukanya masih menggunakan balutan kulit lembut pada bahagian atasnya tetapimenggunakan konsep balutan karbon fiber pada bahagian bibir bawah papan pemukanya.
Meter TFT juga kelihatan bersambung terus skrinnya dengan sistem infotainmen yang selain memberikan informasi tentang sistem bantuan pemanduan elektronik sedia ada dan boleh dilaras, ia juga mempamerkan butang-butang pilihan terhadap pelarasan sistem pendingin hawa, mod pemanduan yang boleh anda pilih daripada butang pada skrinnya seperti mod ekonomi (comfort), sport, perlumbaan dan custom.
Sistem audionya juga tidak kurang hebatnya apabila mampu memberikan bunyi sekeliling walau anda hanya mendengar lagu dari stesen radio awam. Jenama Harmon Kardon pada 10 corong pembesar suara ternyata menjawab persoalan tentang kehebatan bunyi audionya.
Saya cuma sedikit terkilan apabila perlarasan elektronik yang ada pada kerusi pemandu, tidak terdapat pada kerusi penumpang hadapan. Walaupun anda harus membayar RM334,012 (tidak termasuk kos insurans dan cukai jalan serta kos pendaftaran) nampaknya ia tidak cukup untuk membiayai kos perlarasan elektronik pada kerusi penumpang hadapan.
PRESTASI PEMANDUAN
Merangkumkan prestasi pemanduan dan enjin dalam segmen ini saya rasakan satu tindakan yang sesuai. Ini kerana, sistem bantuan pemanduan keselamatan elektroniknya agak serupa dengan sistem-sistem ADAS, sistem pemanduan dalam lorong, sistem pengesan halangan di hadapan dan belakang, malah bantuan parkir elektronik juga terdapat dalam Golf R ini.
Maka, faktor yang ramai ingin tahu adalah prestasi pemanduannya. Jenteranya jenis 2.0TSI yang berkuasa sebanyak 320PS dan 400Nm, lengkap dengan transmisi DSB tujuh kelajuan.
Golf R ini dikatakan mampu mencapai kelajuan sehingga 250km/j malah mampu mencapai tujahan dari 0-100km/j dalam masa hanya 4.8 saat, manakala pacuan empat rodanya memberikan satu tahap prestasi yang baharu.
Ketika pengambilan selekoh, lebih banyak peralihan tumpuan dalam penghasilan kuasa kepada roda-roda yang berada di luar selekoh hanya dalam tempoh beberapa mili-saat, sekali gus meningkatkan pengurusan pengendalian.
Seperti biasa, kereta sport adalah sinonim dengan penggunaan suspensi yang keras dan rendah. Ketika anda dalam mod sport, sistem Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dihentikan bagi membolehkan pemandunya melakukan drift dan memindahkan kuasa tujahan ke roda belakang dan mengubah kenderaan hatchback biasa ini kepada jentera drift yang mengujakan.
Namun, jika anda seorang yang menggemari mengambil selekoh-selekoh tajam, suspensinya boleh dilaras untuk lebih mengeras untuk membolehkan permukaan tayarnya lebih mencengkam pada permukaan jalan raya.
KESIMPULAN
Reka bentuk ikonik, prestasi enjin dan pengendalian yang mengujakan, ternyata bukanlah hanya mampu dicapai oleh kereta perlumbaan sahaja. Ia kini boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja yang berkemampuan.
VW Golf R bukan kenderaan biasa, ia kenderaan serius yang mampu menjadi pendahulu revolusi.-UTUSAN










