SYDNEY: Varian baharu Covid-19, LB.1, dilaporkan melanda Australia ketika pakar kesihatan memberi amaran wabak itu mungkin merebak lebih cepat berbanding varian sebelum ini.
Menurut Jurucakap Jabatan Kesihatan negara itu, terdapat kes yang disahkan varian LB.1 di Australia, lapor SBS News, hari ini.
Pengerusi Biostatistik dan Epidemiologi di Universiti Australia Selatan, Prof Adrian Esterman berkata, walaupun LB.1 dilihat lebih mudah tersebar berbanding KP.2, ia dijangka tidak boleh mengatasi prestasi KP.3 dan sub variannya.
Pakar Penyakit Berjangkit di University of Queensland, Paul Griffin berkata, negara itu dijangka hampir mencapai puncak kes koronavirus pada musim sejuk ini.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat menjangkakan sama ada penularan varian baharu itu boleh menyebabkan kepada gelombang baharu jangkitan.
“Kita mengalami gelombang besar aktiviti Covid-19 dan nampaknya ia mula reda, tetapi masih terdapat banyak kes (direkodkan) pada masa ini,” katanya.- ANADOLU










