Ahli UMNO diingat tidak terima `bulat-bulat’ dakyah pembangkang

Ahli UMNO diingat tidak terima `bulat-bulat’ dakyah pembangkang

MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Ahli UMNO diingatkan tidak merosakkan parti dengan menerima bulat-bulat dakyah dicipta pembangkang sehingga memburukkan kepimpinan sama ada di peringkat pusat, negeri, bahagian atau cawangan. 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, setiap khabar yang diterima perlu disemak  bagi memastikan ahli tidak terpedaya hingga dipermainkan pembangkang. 

“Kadang-kadang sesebuah parti kelihatan lesu bukan disebabkan kekuatan pihak lawan tetapi kerana tindakan ahlinya sendiri. Bila datang dakyah pembangkang, macam mudah sangat percaya sedangkan kita tidak berusaha mencari kebenaran dengan menyemak semula berita itu. 

“Pada akhirnya kita tidak sedar sedang dipermainkan oleh pihak yang mahu menjahanamkan parti ini. Cerita seperti ini mudah tersebar di media sosial, malah di kedai-kedai makan dan kita sebagai individu yang waras perlu mengesahkan kesahihannya,” katanya. 

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian itu di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut,  Mahdzir berkata, tindakan UMNO Bahagian Alor Setar mengusulkan supaya diwujudkan jawatan Timbalan Pengerusi Penyelaras Pembangunan Negeri dan mencalonkan namanya bagi membantu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mungkin dibuat bagi memastikan terdapat kolaborasi antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Mereka melihat mungkin perlu ada koordinasi lebih baik kerana apabila projek pembangunan Persekutuan datang ke Kedah, ia akan berpusat di Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU). Kemudian apabila hendak dilaksanakan, yang mahu  menyambutnya adalah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

“Apabila itu berlaku, nampak seolah-olah tiada pihak yang hendak mengendalikan pelaksanaan projek tersebut bagi memastikan semuanya lancar. Yang ada cuma menteri saja dan mungkin itulah yang menjadi pertimbangan mereka (UMNO Bahagian Alor Setar),” katanya. 

Diminta mengulas  usul dibuat bahagian itu agar UMNO kembali diberikan kerusi Parlimen Alor Setar serta salah satu Dewan Undangan Negeri (DUN) di situ, Mahdzir berkata, parti itu memiliki hak untuk membuat permintaan. 

“Kita ada hak untuk minta dan tiada salahnya untuk UMNO Alor Setar berbuat demikian. Tak ada salahnya untuk kita menilai semula kesesuaian parti mana yang harus bertanding di Parlimen dan DUN tersebut, atau mana-mana kawasan demi kebaikan bersama. 

“Semua ini bagi memperkukuhkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang dan perkara sebegini tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang membawa kepada perpecahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×