UMNO Kedah terbuka siapa jadi MB

UMNO Kedah terbuka siapa jadi MB

kedah
MAHDZIR Khalid bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar di Bangunan Tunku, Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: UMNO Kedah menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan untuk memutuskan calon menteri besar sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid, seperti ditegaskan pucuk pimpinan sebelum ini, UMNO Kedah akan menyokong sepenuhnya siapa juga yang dipilih sebagai menteri besar kelak.

“(Kita) boleh bagi cadangan (menteri besar) tetapi pucuk pimpinan yang putuskan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat UMNO Negeri di sini hari ini.

Ketika ditanya, adakah calon menteri besar itu akan dipilih daripada parti yang meraih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbanyak dalam PRN itu kata Mahdzir, sebarang kemungkinan akan berlaku berdasarkan penilaian pucuk pimpinan dalam gabungan itu.

“Itu juga terserah kepada pucuk pimpinan. Ada juga negeri yang menang sikit tetapi boleh jadi menteri besar. Jadi saya rasa ini tiada masalah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, UMNO Kedah senada dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ahli UMNO yang tidak mengundi parti itu dalam PRN merupakan pengkhianat.

“Tidak perlu difikirkan, jika anda seorang ahli UMNO tetapi tidak mengundi UMNO, semua orang tahu bahawa itu mengkhianati parti. Saya fikir ini perlu jadi peringatan kepada semua ahli, pemimpin dan bekas ahli sama ada mereka letak jawatan atau dipecat,” katanya.

Mahdzir pada masa turut mengesahkan terdapat usaha untuk menggugat UMNO yang akhirnya berjaya dihalang oleh Anwar.

“Saya percaya apa yang Datuk Seri Anwar sebutkan itu adalah benar. (Langah) terbaik bagi mereka (Bersatu) mengharamkan sahaja UMNO, bermakna UMNO akan hilang dan habis.

“Itu usaha yang ditentang sesama sendiri dalam gabungan ketika itu. Kegagalan mengharamkan UMNO adalah kerana ada usaha yang dilakukan oleh Datuk Seri Anwar,” katanya.

Tambahnya, usaha yang dilakukan oleh Anwar adalah rasional daripada politik berasaskan kebencian dan dendam terhadap UMNO.

“Politik kebencian jika dibiarkan berleluasa dalam masyarakat akan memberi kesan yang sangat negatif dan akhirnya boleh menimbulkan suasana tidak sihat dalam negara. Saya mahu elak ini menjadi sebahagian budaya kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN