DHAKA: Kerajaan Bangladesh memutuskan untuk mengenakan perintah berkurung di seluruh negara dan melaksanakan kerahan tentera, susulan peningkatan ketegangan dalam protes pelajar minggu ini, lapor BBC.
Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Nayeemul Islam Khan berkata, keputusan rasmi berhubung perintah berkurung akan dikeluarkan tidak lama lagi.
Media tempatan melaporkan, kira-kira tiga orang terbunuh di negara itu semalam, ketika polis giat menyekat bantahan berterusan yang dicetuskan oleh pelajar berhubung isu kuota kerja kerajaan, walaupun terdapat larangan perhimpunan awam.
Polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan di beberapa kawasan, lapor wartawan Reuters.
Saksi berkata, dia dapat melihat banyak kebakaran berlaku di seluruh ibu negara Dhaka akibat protes ganas itu.
Perkhidmatan telekomunikasi juga terganggu dan saluran berita televisyen tidak dapat disiarkan.
Pihak berkuasa menggantung beberapa perkhidmatan internet mudah alih pada hari sebelumnya sebagai usaha untuk meredakan ketegangan.
Akhbar Bengali Prothom Alo melaporkan, perkhidmatan kereta api terpaksa digantung di seluruh negara apabila penunjuk perasaan menyekat jalan raya dan membaling batu ke arah pegawai keselamatan.
Setakat semalam, jumlah kematian akibat protes mencecah 105 orang, dengan 1,500 yang lain dilaporkan cedera.










