Polis cari kad bank, alat solek milik Nur Farah Kartini

Polis cari kad bank, alat solek milik Nur Farah Kartini

UNIT Skuba Forensik dan anggota polis membuat semakan kedalaman air Sungai Trolak, Slim River, Perak semalam dalam misi pencarian bahan bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah. – UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Unit Skuba Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan operasi mencari bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, di Sungai Trolak, Kampung Batu 4 di sini.

Barang seperti kad bank, alat solek dan pengecas telefon dikatakan antara barangan yang mahu dicari di sungai berkenaan, lokasi penemuan beg tangan milik mangsa kelmarin.

Unit Skuba Forensik PDRM dengan kekuatan lima anggota tiba di sungai tersebut kira-kira pukul 11.14 pagi semalam.

Namun mereka mengambil keputusan untuk menangguhkan operasi pencarian kira-kira sejam kemudian apabila mendapati keadaan air sungai yang deras akibat cuaca hujan.

Difahamkan, beg tangan berwarna coklat yang ditemukan tersangkut di dahan pokok 270 meter jarak dari jambatan tempat lokasi operasi pencarian bermula.

Beg tangan tersebut ditemui pada pukul 4.40 petang dengan kandungannya telah kosong yang dipercayai dihanyutkan air atau telah dibuang satu persatu.

Petugas media yang berada di lokasi pencarian sejak pukul 9 pagi difahamkan, penangguhan operasi dibuat memandangkan ketinggian air mencecah dua hingga tiga meter, berbanding paras biasa satu meter.

Keadaan air keruh, dasar sungai yang berbatu dan dahan pokok besar serta tajam juga antara sebab operasi pencarian itu ditangguh demi keselamatan anggota bertugas.

Petugas media difahamkan operasi akan disambung setelah keadaan air sungai itu selamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim mengesahkan pencarian itu ditangguhkan.

Katanya, operasi seterusnya bergantung kepada keadaan cuaca dan penelitian pasukan forensik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×