BATU PAHAT: Seorang pemandu excavator maut selepas kenderaan dipandunya ditimbus tanah runtuh dalam kejadian di sebuah kuari di Simpang Kanan dekat sini, petang semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian berlaku pukul 4.25 petang melibatkan seorang lelaki warga tempatan, Eswandi Sapri, 52.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa sedang mengendalikan excavator itu sebelum berlaku tanah runtuh dan menimbusnya bersama jentera berkenaan.
“Kerja-kerja menyelamat telah dilakukan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat Batu Pahat, Polis Batu Pahat, Pasukan Kesihatan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) serta pekerja syarikat kuari berkenaan.
“Bagaimanapun, selepas berjaya dikeluarkan mangsa sudah tidak bernyawa dan disahkan meninggal dunia selain mengalami kecederaan patah dibahagian tengkuk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Shahrulanuar lagi, mayat mangsa kemudiannya dirujuk ke HSNI untuk proses bedah siasat.
Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit, Penguasa Bomba Kanan I Ridwan Gembor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 4.25 petang.
Susulan itu katanya, seramai 16 anggota dengan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu utiliti dikejarkan ke tempat kejadian.
“Pihak bomba mendapati mangsa tersepit di bahagian pintu dan dipercayai patah bahagian tengkuk. Bomba menggunakan peralatan khas memotong pintu jengkaut tersebut dan mengeluarkan mangsa,” katanya. – UTUSAN











