Masuk UMNO semula? Tengoklah macam mana - KJ - Utusan Malaysia

Masuk UMNO semula? Tengoklah macam mana – KJ

KHAIRY Jamaluddin dalam sidang akhbar program Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2024 di Menara Aras Raya di sini hari ini. -SADDAM YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Meskipun sudah dipecat daripada UMNO, tidak pernah sesekali rasa cinta dan sayang Khairy Jamaluddin terhadap parti keramat Melayu itu pudar hingga hari ini.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang akan membawa perkara berhubung permohonan ramai bekas ahli sertai parti semula ke Lembaga Disiplin untuk menentusahkan keahlian mereka adalah hal menarik.

Bagaimanapun, Khairy tidak mengulas jika mahu menyertai parti itu semula selepas apa yang dilakukan UMNO terhadapnya sehingga membawa kepada pemecatannya.

“Saya tidak anggap saya keluar daripada UMNO, sebaliknya, saya dipecat. Saya pun tidak sertai mana-mana parti politik.

“Jadi orang yang dipecat ini, dia masih lagi sayang dengan parti lama sebab dia tidak keluar parti,” katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar program Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2024 di Menara Aras Raya di sini hari ini.

Sementara itu, Khairy tidak menolak jika beliau merancang memohon menyertai parti itu semula pada masa hadapan.

“Tengoklah macam mana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 5 Julai lalu yang parti itu menerima banyak permohonan bekas ahli ingin menyertai parti itu semula.

Katanya, perkara itu akan dibawa ke Lembaga Disiplin untuk menentusahkan keahlian mereka.

Pada 31 Januari tahun lalu, Khairy dilaporkan menolak untuk kembali kepada UMNO selepas dipecat parti yang disertainya sejak 23 tahun lalu.

Katanya, UMNO bukan pilihannya buat masa ini terutama jika parti itu masih diterajui Ahmad Zahid sebagai Presiden bersama beberapa barisan pimpinan sedia ada.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dipengerusikan Ahmad Zahid sebelum ini memutuskan memecat Khairy dan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar atas dakwaan ‘pelanggaran disiplin parti’.

Noh, 66, kini rasmi sebagai ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

UMNO turut menggantung keahlian bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang; dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Shariff, masing-masing selama enam tahun.

Antara alasan pemecatan Khairy ialah ucapan beliau dalam kempen PRU15, menyatakan ‘parti itu sudah sesat dan mahu membersihkannya’, yang didakwa menjadi pencetus meragut kestabilan politik UMNO.

Katanya, beliau kecewa dengan sikap UMNO yang dilihat enggan berubah meskipun telah ‘dihukum’ oleh rakyat berulang kali pada dua pilihan raya umum (PRU) sehingga hanya mampu menawan 26 kerusi Parlimen pada PRU Ke-15 (PRU15) lalu.

Dalam temu bual bersama beberapa media selepas dipecat, Khairy mendakwa ia tidak mengikut prosedur apabila beliau terus dikenakan tindakan itu tanpa sebarang peluang untuk memberi penjelasan dan mempertahankan diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×