PETALING JAYA: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki item-item berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS) dan memberi sokongan kepada kumpulan tersebut, bulan lalu.
Tertuduh, Fauziahanim Abdullah, 56, hanya menganggukkan kepala tanda faham dan tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnah kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rullizah Abdul Hamid manakala wanita yang sudah berkeluarga itu tidak diwakili peguam.
Menurut pertuduhan, tertuduh memiliki telefon bimbit jenis Vivo V2043 dan sebuah pemacu kilat USB (pendrive) jenis Sundisk 16GB pada 9.02 pagi, 23 Jun lalu di sebuah unit kondominium Kompleks Suria Kinrara di sini.
Wanita tersebut dituduh mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.
Fauziahanim turut berdepan pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas sama dengan menggunakan aplikasi media sosial, Instagram atas profil `Aurora Millisaa @Hanee_bear_’ pada 9.15 pagi, 28 Jun lalu di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman dekat sini.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 40 tahun atau dengan denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan dalam melakukan kesalahan itu jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 20 September depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN











