JOHOR BAHRU: Tiga lelaki direman bagi membantu siasatan kes langgar kenderaan polis dan cubaan mencederakan pegawai polis di Taman Kota Masai semalam.
Mahkamah Majistret Johor Bahru membenarkan reman selama tujuh hari sehingga 25 Julai depan setelah dibenarkan Penolong Kanan Pendaftar, Chan Lee Lee.
Permohonan reman dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, sebelum kejadian itu, pihaknya sedang menahan sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki tempatan untuk diperiksa.
“Sehingga sebuah kereta yang dinaiki tiga suspek berumur antara 25 hingga 45 tahun itu, dipandu secara melulu dan melanggar kenderaan polis.
“Berikutan insiden itu, anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah kereta tersebut bagi mempertahankan diri,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Mohd. Sohaimi, hasil pemeriksaan, ketiga-tiga suspek tersebut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine.
“Polis masih giat mengesan seorang lagi suspek berumur 25 tahun yang masih bebas dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintendan Mohd Afzan Musa menerusi talian 07-3871422,” katanya. –UTUSAN











