PETALING JAYA: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan program Suara dari Anjung Dewan Tamadun Islam yang bertajuk “Keluarga Tanpa Anak: Pilihan atau Takdir?” pada 24 Julai ini dengan kerjasama Bahagian Majalah dan Bahagian Multimedia DBP.
Menurut DBP, program tersebut bertujuan menyemarakkan aktiviti keilmuan dan menyampaikan maklumat terkini mengenai isu yang berlegar dalam kalangan masyarakat Islam, khususnya persoalan tentang keluarga tanpa anak menurut perspektif Islam.
“Perbincangan tentang gaya hidup keluarga tanpa anak telah menjadi topik hangat di media sosial, di mana ramai golongan individu atau pasangan berkongsi pengalaman dan menyatakan pandangan mereka.
“Isu ini sering menimbulkan perdebatan di kalangan orang ramai tentang implikasi jangka pendek dan panjang, baik dari segi sosial mahupun emosi.
“Walaupun ada pasangan yang berasa bahagia dengan pilihan mereka, terdapat juga yang menghadapi kritikan dan tekanan daripada keluarga serta masyarakat yang berpegang kepada pandangan lebih tradisional tentang perkahwinan dan keluarga,” kata agensi berkenaan menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambahan lagi, perubahan dalam nilai dan keutamaan kehidupan moden ini membuka ruang dan peluang bagi perbincangan lebih luas tentang definisi kebahagiaan dan kejayaan dalam konteks keluarga, khususnya dari sudut pandang Islam.
Program Suara dari Anjung Dewan Tamadun Islam kali ini akan menampilkan dua ahli panel, iaitu Dr. Mohd. Hapiz Mahaiyadin, Zamri Zainal Abidin dan Dr. Ahmad Akram Mahmad Robbi sebagai moderator.
Perbincangan ini juga akan dilaksanakan secara bersemuka dan secara atas talian melalui siaran langsung di platform Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia dan YouTube DBPMalaysia.
DBP berharap program ini dapat memberikan pencerahan dan pandangan yang komprehensif mengenai isu keluarga tanpa anak, sekaligus menggalakkan dialog yang konstruktif dalam masyarakat. –UTUSAN











