PASIR GUDANG: Polis menahan tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta dipandu secara melulu dan melanggar kenderaan polis serta hampir mencederakan pegawai bertugas dalam kejadian di Jalan 17, Taman Kota Masai di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, dalam kejadian pukul 12.20 tengah hari itu, polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah kereta tersebut untuk mempertahankan diri.
“Sebelum itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, telah menahan sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki tempatan untuk diperiksa.
“Bagaimanapun, semasa pemeriksaan dilakukan, sebuah kereta dipandu secara melulu dan telah melanggar kenderaan polis serta hampir mencederakan pegawai polis bertugas dan menyebabkan tembakan terpaksa dilepaskan ke arah kereta terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu tular video berdurasi 17 saat mengenai kejadian itu dalam media sosial yang mencetus kebimbangan penduduk setempat setelah terdengar bunyi das tembakan.
Kejadian itu mengundang pelbagai tanggapan dalam kalangan warganet termasuk mendakwa kononnya insiden yang berlaku itu menyebabkan kematian seorang penjenayah.
Mohd. Sohaimi berkata, susulan itu tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 24 hingga 45 tahun berjaya ditahan.
Katanya , pihaknya kini dalam usaha untuk memburu seorang lagi suspek berusia 25 tahun giat dijalankan.
“Hasil semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai 10 rekod kesalahan jenayah dan dadah.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine,” tambahnya.
Kes tersebut katanya, disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Asisten Superintenden Mohd Afzan Musa dan ke talian hotline IPD Seri Alam menerusi talian 07-3871422,” ujarnya. –UTUSAN










