Lima individu dituduh cuai sebabkan kematian rakan - Utusan Malaysia

Lima individu dituduh cuai sebabkan kematian rakan

SEBAHAGIAN daripada lima individu yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini atas tuduhan melakukan perbuatan cuai atau gopoh sehingga menyebabkan kematian seorang rakan mereka dalam kejadian di sebuah kolam mandi hotel di Port Dickson minggu lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Lima orang rakan terdiri daripada dua lelaki dan tiga perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian seorang lagi rakan mereka dalam kejadian di sebuah kolam mandi hotel di daerah ini, minggu lalu.

Kesemua tertuduh, D. Maharaj, 36; B. Shanmugaservai, 34; Faezatun Firus Arifin, 42; R. Praveena, 31 dan S. Suvipra, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret, Uthman Abd. Ghani.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan secara bersama, kesemuanya telah menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 38 tahun dengan melakukan satu perbuatan gopoh atau cuai yang tidak terjumlah kepada kesalahan mematikan orang dengan salah.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 2 pagi dalam kolam mandi sebuah hotel di daerah ini pada 13 Julai lalu.

Kesemuanya dituduh mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd. Zainal menawarkan wang jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap tertuduh dan memohon mahkamah syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Nadia Ezzati turut memohon tarikh sebutan bagi penyediaan laporan kimia, forensik dan bedah siasat.

Bagaimanapun, peguam Wan Syahir Wan Mohd. Razi dari Nazri Yahya & Co yang mewakili empat tertuduh, Maharaj, Shanmugaservai, Faezatun dan Suvipra, memohon agar wang jaminan rendah dikenakan ke atas kesemua tertuduh kerana masing-masing mempunyai tanggungan.

Peguam, Shamsul Sulaiman yang mewakili seorang lagi tertuduh, Praveena pula memohon agar hanya satu wang jaminan sahaja dikenakan dengan mengenepikan jaminan polis sebelum ini.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Sementara itu, dalam kamar yang sama, kesemua tertuduh turut berhadapan dakwaan memasukkan dadah jenis THC dalam badan minggu lalu.

Kesalahan itu dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di antara pukul 12.20 pagi hingga 1 pagi, 14 Julai lalu. Bagaimanapun, kesemua tertuduh tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan.

Bagi kesalahan tersebut, kesemuanya dibenarkan jaminan sebanyak RM2,000 bagi setiap seorang dan tarikh sebutan semula kedua-dua kes tersebut bagi laporan berkaitan adalah pada 3 September ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang mengatakan rakannya lemas di kolam hotel.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa lelaki yang juga orang kurang upaya (OKU) lumpuh separuh badan datang bersama lima rakannya dari Subang Jaya, Selangor ke daerah ini untuk menyambut ulang tahun kelahiran dan menginap di sebuah hotel.

Mangsa disahkan mati pada pukul 4.15 pagi semasa dalam perjalanan ke hospital yang dibawa menaiki ambulans. dan hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematiannya adalah disebabkan lemas.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×