AGC tolak representasi Guan Eng, bicara disambung 8 Ogos

AGC tolak representasi Guan Eng, bicara disambung 8 Ogos

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan oleh Lim Guan Eng bagi mengugurkan empat pertuduhan rasuah berkaitan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang.

Sehubungan itu, Hakim Azura Alwi menetapkan perbicaraan kes terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang disambung pada 8 Ogos seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Mahkamah dijadualkan menyambung prosiding mencabar kredibiliti saksi pendakwaan ke-23, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan, pihak AGC telah mengkaji representasi yang dikemukakan oleh Guan Eng dan memutuskan untuk menolaknya.

“Representasi itu dihantar pada 28 Jun lalu dan ditolak pada awal bulan ini,” ujar beliau pada sebutan kes bagi memaklumkan perkembangan representasi berkenaan.

Sementara itu, peguam Haijan Omar memberitahu, kehadiran Guan Eng dikecualikan pada prosiding hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Guan Eng mengemukakan representasi atas alasan terdapat percanggahan keterangan Zarul Ahmad yang juga saksi utama pendakwaan ketika memberi keterangan di mahkamah.

Guan Eng menyatakan, keterangan Zarul Ahmad yang juga Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. kepada mahkamah, bercanggah dengan keterangannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penipuan ahli perniagaan G. Gnanaraja melibatkan wang berjumlah RM19 juta.

Setakat ini, pihak pendakwaan telah memanggil lebih 30 saksi memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada Julai 2021.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 63, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk menerima suapan berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Guan Eng didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×