JOHOR BAHRU: Dua rakan maut apabila motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah van sekolah di Jalan Masai-Kong Kong, Pasir Gudang, dekat sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 6.45 pagi itu, lelaki berusia 26 tahun dan wanita berusia 30 tahun itu maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 7.10 pagi dan hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku membabitkan sebuah van sekolah dipandu seorang wanita berusia 47 tahun dari arah Kong Kong ke Masai.
“Semasa kejadian, sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki tempatan dan pembonceng seorang wanita tempatan berusia 30 tahun telah memasuki laluan van tersebut dan berlaku pertembungan.
“Akibatnya, penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Sultan Ismail (HSI) pada pukul 7.40 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau menasihati orang ramai sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta memandu dalam keadaan berwaspada dan bertanggungjawab. – UTUSAN










