PETALING JAYA: Seorang pemandu e-hailing yang ‘tinggal’ dalam keretanya dilaporkan hilang selepas kali terakhir dapat dihubungi pada 12 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan kejadian Orang Hilang (OH) kira-kira pukul 4.17 petang, Ahad lalu..
Katanya, penama yang hilang adalah Syahrul Asyraf Dahlan, 33, bekerja sebagai pemandu e-hailing.
“Kali terakhir lelaki itu dapat dihubungi melalui panggilan telefon oleh ahli keluarga yang tinggal di Melaka adalah 12 Julai lalu.
“Ketika itu dia sedang bekerja memandu kereta nombor pendaftaran VCE 4826 jenis Proton Persona berwarna coklat pada tarikh 12 Julai lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, lelaki tersebut dimaklumkan tinggal di sekitar kawasan Lembah Klang dan hanya tidur di dalam kereta miliknya sejak bekerja sebagai pemandu e-hailing di bawah syarikat tempatan.
“3 Julai lalu merupakan kali terakhir beliau menetap di rumah salah seorang ahli keluarga yang berada di kawasan Pandan Jaya, di sini,” ujarnya.
Justeru itu, Mohd Azam meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan mangsa untuk tampil ke balai polis berhampiran.
“Mereka yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di talian 03-42524866,” katanya. – UTUSAN











