KUALA LUMPUR : Tindakan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) untuk melantik firma audit bebas bagi mengaudit Pembangunan Sumber Manusia Bhd. (HRD Corp) dipersoal empat ahli Parlimen PKR.
Dalam satu sidang media bersama, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim; Ahli Parlimen Selayang, William Leong; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Miri, Chiew Choong Man berkata, tindakan Kesuma itu membuka ruang kepada kementerian dan agensi kerajaan lain terhadap Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).
“Kami juga ingin menyatakan kegusaran kami dengan keputusan Kesuma yang berhasrat melantik sebuah firma juruaudit bebas.
“Kami ingin meminta penjelasan daripada kementerian untuk menjelaskan bahawa juruaudit bebas ini tidak berada di situ untuk memberikan pandangan kedua untuk menilai semua hasil LKAN, tetapi hanya untuk mencadangkan kaedah-kaedah, dokumentasi dan prosedur tata kelola yang lebih baik.
“Kami juga bincang dengan beberapa akhbar berita yang menyampaikan mesej bahawa laporan ini tidak perlu diterima atau dipersetujui oleh agensi-agensi kerajaan, dan agensi-agensi ini bebas untuk melantik dan mendapat pandangan pihak ketiga.
“Ini akan membuka peluang kepada kementerian-kementerian dan agensi kerajaan lain untuk mempertikai LKAN dan melemahkan Ketua Audit Negara,” katanya dalam sidang di Parlimen, hari ini.
Pada 10 Julai lalu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, Kesuma akan melantik juruaudit profesional pihak ketiga bagi mengaudit HRD Corp demi menjamin ketelusan dalam audit bebas.
Beliau berkata, ia susulan laporan Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung operasi HRD Corp dari 2019 hingga 2023.
Stesen Sim berkata, Kesuma telah diarahkan untuk menjalankan audit bebas ke atas HRD Corp yang akan meneliti segala proses, prosedur, dokumentasi dan kepatuhan terhadap undang-undang, serta sebarang garis panduan berhubung isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan-laporan JAN dan PAC. – UTUSAN









