KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man telah menerima tiga cek berjumlah RM629,395.30 daripada sebuah syarikat ejen pelancongan di antara Februari 2014 dan Januari 2016.
Menurut saksi pertama pendakwaan, Penolong Pengurus Cawangan Maybank, J. D. David Jesudasan, tiga cek berkenaan membabitkan cek bertarikh 14 Februari 2014 dengan jumlah RM208,339.90, cek bertarikh 5 Februari 2015 (RM196,651) dan cek ketiga bertarikh 20 Januari 2016 (RM224,404.40.)
Selain itu, pegawai bank yang bertugas di cawangan Jalan Raja Laut turut memberitahu, syarikat ejen pelancongan itu, Sri Kedawang Travel & Tours Sdn. Bhd. turut menerima kemasukan wang berjumlah RM687,785.40 di antara tempoh yang sama.
Ia membabitkan cek berjumlah RM230,230 daripada Perbendaharaan Negeri Perlis ke akaun bank syarikat terbabit dan dua deposit secara dalam talian ke akaun Maybank syarikat Sri Kedawang berjumlah RM216,260 pada 19 Disember 2014 dan RM241,295.40 pada 23 Disember 2015.
Pegawai bank itu berkata demikian ketika membaca penyataan saksinya dalam kes Azlan yang didakwa atas 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima hasil daripada aktiviti haram.
Pada 10 April lalu, Azlan mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika mentadbir negeri Perlis.
Azlan didapati dengan niat menuntut kemudahan cuti seberang laut yang layak diberikan kepadanya sebagai Menteri Besar Perlis, bagi tempoh bermula 2013 sehingga 2017, sedangkan tidak ada sebarang perjalanan berkenaan oleh beliau.
Ia membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London, United Kingdom dan invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd. serta Aidil Travel & Tours Sdn. Bhd.
Beliau didakwa membuat pernyataan palsu mengenai butiran membabitkan kos bagi tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan ke London dalam beberapa tarikh pada 20 Disember 2013 hingga 2 Januari 2014, 17 hingga 26 Disember 2014, 18 hingga 29 Disember 2015, 23 Disember 2016 hingga 1 Januari 2017 serta 23 hingga 30 November 2017.
Tuduhan itu adalah mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama, membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butiran dokumen yang palsu atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Pada 12 April pula, Azlan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram (AMLA) berjumlah RM1.06 juta.
Mengikut kelima-lima pertuduhan, Azlan didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM1,059,675.25 daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd., Aidil Travel & Tours Sdn. Bhd. dan wakil Aidil Travel, Abdul Rahim Halim.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum bawah seksyen 4(1) akta sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung hari ini. – UTUSAN










