KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menjelaskan, tiada sebarang arahan dikeluarkan untuk menutup akaun di media sosial.
Ini kerana jelas Fahmi, setiap portal atau pengendali media bertanggungjawab terhadap komen yang dibuat di platform media sosial mereka.
Ia berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2021, portal media bertanggungjawab terhadap komen dibuat pengguna di platform media sosialnya.
“BERNAMA atau media lain sudah sedia mengambil maklum mereka mempunyai hak untuk mengenakan sekatan, iaitu dengan mengambil kira keputusan yang pernah diputuskan mahkamah pada masa itu.
“Maka itu antara keputusan dilakukan (menutup komen) kerana mereka bertanggungjawab terhadap komen yang dibuat orang ramai,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) meminta kementerian menjelaskan mengenai keseimbangan di antara hak bersuara dan sekatan buli siber agensi media apabila ruangan komen media sosial mereka ditutup, termasuk dilakukan BERNAMA.
Malah, kata Fahmi, beliau juga tidak meminta mana-mana pengendali platform sosial atau agensi media menutup ruangan komen.
“Saya tegur, saya teliti, Ahli Parlimen Machang (Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal) yang tiada di sini hari ini mengeluarkan tohmahan kepada saya. Saya tidak mengarahkan TikTok, saya tidak pernah terima aduan.
“Mana-mana orang awam boleh membuat aduan kepada pengendali platform seperti TikTok, Instagram dan ia terpulang kepada pengendali itu untuk mengekal atau membuang komen di media sosialnya,” katanya. – UTUSAN










