WiPers sasar 70 pingat emas Sukma Sarawak 2024

WiPers sasar 70 pingat emas Sukma Sarawak 2024

ZALIHA ketika Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan ke Sukma Sarawak 2024 dan Pelancaran Logo Baharu Majlis Sukan Wilayah Persekutuan di Kementerian Wilayah Persekutuan di Putrajaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPers) meletakkan sasaran 70 pingat emas bagi memastikan matlamat untuk muncul juara pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 yang bakal berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini menjadi kenyataan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, pada temasya kali ini, seramai 705 orang atlet telah disenarai pendek untuk mewakili kontinjen Wilayah Persekutuan.

“Kesemua atlet adalah seramai 705 orang yang akan terbabit dalam 37 jenis sukan dan 41 disiplin sukan. Dan kali ini kita sasarkan lebih baik iaitu 70 pingat emas untuk kita mengulangi kembali sejarah yang kita lakukan 10 tahun lalu apabila menjadi juara.

“Pada kali ini, insentif juga akan diberikan kepada jurulatih supaya mereka bersemangat untuk berikan yang terbaik dalam pencapaian SUKMA,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan ke Sukma Sarawak 2024 di sini, semalam.

Untuk rekod, kontinjen Wilayah Persekutuan memenangi 55 pingat emas, 68 pingat perak dan 64 pingat gangsa pada Sukma Kuala Lumpur 2022 dan menduduki tempat ketiga secara keseluruhan di belakang Johor dan Terengganu.

Zaliha berkata, sebagai pembakar semangat, Jabatan Wilayah Persekutuan menyediakan insentif sebanyak RM5,000 bagi atlet individu yang membawa pulang pingat emas, manakala bagi atlet berpasukan (3-5 atlet) sebanyak RM 4,000 serta berpasukan enam dan ke atas (RM 3,000).

Jelasnya, bagi pingat perak, kategori individu menerima ganjaran RM2,000 manakala untuk atlet berpasukan menerima RM1,000 hingga RM1,500 manakala gangsa kategori individu (RM1,000) dan atlet berpasukan (RM500-RM700).

“Bagi setiap sukan yang memperoleh pingat emas, insentif yang ditawarkan bagi jurulatih untuk kategori sukan individu adalah sebanyak RM1,000, sukan berpasukan (RM1,000) dan acara berpasukan (RM500).

“Manakala, pengurus pasukan pula ditawarkan insentif RM500 bagi setiap sukan yang memperoleh pingat emas,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×